sukan

Onana sah digugurkan

Penjaga gol Manchester United, Andre Onana digugurkan daripada skuad untuk aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Newcastle United malam ini, susulan kesilapan yang dilakukannya dalam aksi suku akhir Liga Europa menentang Lyon, menurut laporan media Britain.

Penjaga gol Cameroon berusia 29 tahun itu melakukan dua kesilapan yang membawa kepada jaringan Lyon dalam keputusan seri 2-2 di Perancis, Jumaat lalu.

Menurut BBC, pengendali United, Ruben Amorim mengambil keputusan untuk ‘merehatkan dan menenangkan’ Onana daripada tekanan menjelang aksi penting malam ini.

Tempat Onana dijangka diisi oleh Altay Bayindir, yang kali terakhir diturunkan dalam aksi peringkat kumpulan Liga Europa pada Januari.Jika diturunkan, ia bakal menjadi penampilan sulung Bayindir dalam saingan EPL.

Bekas pemain tengah United yang kini bersama Lyon, Nemanja Matic turut mengkritik keras Onana dengan menyifatkannya sebagai ‘antara penjaga gol paling teruk’ dalam sejarah kelab itu.

Bagaimanapun, Amorim tampil mempertahankan anak buahnya selepas perlawanan menentang Lyon dan berkata: “Saya sendiri melakukan lebih banyak kesilapan musim ini berbanding Onana.”

Laporan BBC turut menyebut bahawa Onana masih menjadi pilihan utama Amorim dan dijangka kembali mengawal gawang United untuk aksi timbal balik menentang Lyon di Old Trafford, Jumaat depan.

sumber:- BH

United kini berada dalam tekanan untuk mara ke separuh akhir Liga Europa selepas keputusan seri di tempat lawan, sambil Amorim cuba mencari keseimbangan antara prestasi dan kestabilan skuad. – REUTERS