sukan

“Potensi tu tak tertutup”

Ketiadaan Sri Pahang FC dalam Liga Super musim depan nyata mengejutkan banyak pihak, khususnya peminat setia bola sepak tanah air yang sekian lama menyokong pasukan bersejarah itu. Rentetan itu, wujud cadangan supaya Sri Pahang FC mempertimbangkan langkah untuk membuat kemunculan semula dalam Liga A1 di bawah kendalian Liga Amatur Malaysia (AFL).

Cadangan tersebut pantas mencetuskan pelbagai spekulasi dan perdebatan di media sosial. Para penyokong yang masih menaruh harapan mahu melihat skuad Tok Gajah terus aktif dalam kancah bola sepak negara menzahirkan sokongan penuh agar pengurusan kelab segera memohon menyertai liga tersebut.

Bagaimanapun, realitinya tidak semudah yang dijangka. Ketua Pegawai Eksekutif AFL, Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad, menegaskan pihaknya belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada pihak pengurusan Sri Pahang FC untuk beraksi dalam Liga A1 musim ini.

“Kalau tanya saya, memang setakat ini tiada apa-apa maklumat rasmi daripada pihak Pahang. Jadi belum boleh nak komen lebih,” katanya sambil menambah pihak AFL sentiasa mengalu-alukan mana-mana pasukan baharu tetapi perlu mengikut proses yang betul.

Untuk makluman, selain Sri Pahang FC, dua lagi pasukan elit iaitu Perak FC dan Kedah Darul Aman FC juga tidak lagi tersenarai dalam Liga Super 2025 kerana beberapa faktor yang tidak didedahkan sepenuhnya. Situasi ini membuktikan bahawa kedudukan mana-mana pasukan tidak terjamin jika tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Raimi turut menjelaskan, meskipun AFL tidak menutup pintu kepada sebarang penyertaan baharu, prosedur tetap perlu dipatuhi. Setiap permohonan wajib dibuat secara bertulis sebelum dibentangkan kepada lembaga pengarah AFL untuk penelitian dan kelulusan.

“Biasanya kalau ada permohonan baru, kita akan bawa ke mesyuarat lembaga pengarah. Dari situ baru kita tengok sama ada sesuai atau tidak,” ujarnya.

Beliau mengakui, AFL sebelum ini pernah memberikan pengecualian kepada beberapa pasukan yang kembali selepas berada di luar struktur liga. Namun, dalam keadaan sekarang, penambahan pasukan secara mendadak akan memberi implikasi besar terhadap susunan jadual, kumpulan dan perancangan teknikal yang telah dirangka.

“Sekarang ni, kami dah umumkan 16 pasukan akan bermain. Kurang sebulan lagi liga akan bermula, jadi sebarang perubahan mendadak boleh timbulkan banyak isu. Taklimat pun akan diadakan dalam masa terdekat,” jelasnya lagi.

Walaupun begitu, Raimi tidak menolak sepenuhnya peluang Sri Pahang FC untuk membuat kemunculan semula, asalkan syarat dan proses dipenuhi dalam tempoh masa yang bersesuaian.

“Potensi tu tak tertutup, cuma keadaan sekarang agak mencabar. Kalau tiba-tiba ada pasukan nak masuk, banyak benda kena susun balik, memang akan jadi kelam-kabut,” katanya.

Kesimpulannya, segalanya kini bergantung kepada langkah seterusnya daripada pihak Sri Pahang FC. Sokongan padu penyokong jelas masih utuh, namun keputusan muktamad terletak di tangan pengurusan pasukan sama ada mahu menghantar permohonan rasmi atau membiarkan nama Sri Pahang FC lenyap buat sementara dari persada bola sepak negara.