sukan

Junior Ngong Sam sah sertai TFC

Junior Ngong Sam, satu nama yang tidak asing lagi buat penyokong Terengganu FC (TFC). Dua tahun lalu, penyerang berasal dari Cameroon ini pernah menjadi duri dalam daging apabila meledak dua gol ketika beraksi menentang TFC dalam Piala AFC bersama Stallion Laguna FC. Dua aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dan Stadium Bolasepak Binan itu masih segar dalam ingatan penyokong setia TFC.

Namun, masa telah merubah segalanya. Dari seorang penyerang lawan yang membinasakan pertahanan TFC, Sam kini sah bergelar penyerang baharu pasukan Pantai Timur itu. Perkembangan ini diumumkan sendiri oleh Ketua Pegawai Operasi Terengganu Football Club Sdn Bhd, Mohd Syahrizan Mohd Zain dalam satu kenyataan rasmi kepada media.

Menurut Mohd Syahrizan, Sam merupakan pemain import kedua yang dibawa masuk selepas Nurillo Tukhtasinov dari Uzbekistan yang kontraknya telah disambung untuk musim baharu Liga Malaysia (Liga M). “Sam tiba di Terengganu semalam. Dia sudah melalui pemeriksaan perubatan dan kecergasan di Kuala Lumpur dan berjaya melepasi semua syarat ditetapkan. Kami percaya dengan pengalaman serta kebolehannya menjaringkan gol, Sam mampu memberikan impak besar buat TFC,” katanya.

Ketibaan Sam pastinya menggembirakan barisan kejurulatihan yang diketuai Badrul Afzan Razali. Bekas penyerang Stallion Laguna FC itu dijangka memperkukuh lagi jentera serangan pasukan yang sebelum ini dilihat agak bergelut untuk mendapatkan penyudah tajam dalam beberapa perlawanan penting.

Bakal menyarung jersi bernombor 19, Sam menandatangani kontrak selama satu musim sehingga tamat saingan Liga M yang dijadual bermula pada 8 Ogos nanti. Keputusan membawa masuk Sam dibuat setelah pihak kejurulatihan menilai beberapa calon penyerang import sebelum memutuskan untuk memilih beliau berdasarkan prestasi cemerlang terdahulu.

Peminat TFC kini meletakkan harapan tinggi agar Sam dapat mengulangi sentuhan berbisa yang pernah mengecewakan TFC tetapi kali ini sebagai penyelamat gol buat pasukan. Dengan kelajuan, kekuatan fizikal serta naluri memburu gol yang dimilikinya, Sam dijangka mampu menjadi ‘senjata rahsia’ TFC dalam menghadapi saingan sengit Liga Malaysia.

Mohd Syahrizan juga berharap kehadiran Sam dapat mencetuskan persaingan sihat dalam skuad dan meningkatkan motivasi pemain tempatan untuk mempamerkan aksi terbaik di atas padang. “Dengan kehadiran Sam, saya yakin pasukan lebih seimbang dan bersedia bersaing di peringkat lebih tinggi. Kami percaya sentuhan beliau akan membawa perubahan positif,” jelas beliau.

Persediaan pasukan kini giat diperkemas dengan beberapa perlawanan ujian dijadualkan berlangsung sebelum sepak mula Liga Malaysia. Sam dijangka akan segera menyesuaikan diri dengan corak latihan serta falsafah permainan TFC, seterusnya membuktikan bahawa beliau adalah penyerang yang tepat untuk membantu TFC kembali bersaing merebut gelaran.