Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Afiq Fazail, terus mencipta nama apabila hantaran cemerlangnya dalam pertemuan menentang Ulsan HD pada Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2024/25 diiktiraf sebagai Bantuan Gol Terbaik kejohanan.
Dalam perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim tersebut, Afiq yang berusia 30 tahun memainkan peranan penting membantu JDT meraih kemenangan 3-0 ke atas kelab dari Korea Selatan itu.
Hasil undian yang dijalankan di laman sesawang rasmi Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), hantaran Afiq meraih sokongan terbanyak dengan 32.73 peratus undian. Ini menjadikannya mendahului senarai pencalonan berbanding beberapa pemain ternama antarabangsa.
Nama-nama besar seperti Roberto Firmino, Riyad Mahrez, Joao Cancelo dan Akram Afif turut tercalon dalam senarai, namun hantaran Afiq berjaya memikat hati peminat bola sepak Asia.
Afiq turut menjadi salah seorang daripada hanya dua pemain Asia Tenggara yang terpilih untuk anugerah tersebut. Wakil satu lagi ialah Suphanat Mueanta dari Thailand yang kini bermain bersama Buriram United.
Menariknya, Afiq hanya memerlukan satu minit untuk mencipta momen gemilang apabila beliau dibawa masuk pada minit ke-88 bagi menggantikan Natxo Insa.
Tanpa membuang masa, Afiq segera membuktikan keupayaannya dengan hantaran lambung menembusi barisan pertahanan Ulsan HD. Bola hantaran tersebut sampai tepat kepada Bergson yang tidak mensia-siakan peluang dengan rembatan padu menewaskan penjaga gol Jo Hyeon Woo. Gol itu melengkapkan jaringan ketiga untuk JDT sekaligus memastikan kemenangan penuh bergaya di laman sendiri.
Dalam pencalonan yang sama, Roger Ibanez dari Ah-Ahli Saudi FC turut menonjol dengan hantaran lambungnya kepada Riyad Mahrez yang menghasilkan gol ketika menentang Al-Wasl. Ibanez menduduki tempat kedua dengan meraih 26.71 peratus undian.
Sementara itu, Riyad Mahrez yang pernah beraksi bersama Manchester City menamatkan saingan di tempat ketiga. Bantuan gol Mahrez ketika separuh akhir ACLE menentang Al-Hilal meraih 20.78 peratus undian.
Pengiktirafan terhadap Afiq bukan hanya membanggakan dirinya tetapi juga JDT serta seluruh peminat bola sepak tanah air. Ia membuktikan bahawa bakat pemain tempatan tidak kurang hebatnya berbanding pemain antarabangsa.
Kejayaan ini turut menjadi pembakar semangat kepada barisan pemain Harimau Malaya untuk terus menunjukkan aksi konsisten dan memperkukuhkan kedudukan bola sepak Malaysia di peringkat benua.
Pencapaian seumpama ini diharap dapat memberikan inspirasi kepada pemain muda untuk bekerja lebih keras mencapai standard yang ditetapkan. Dalam saingan ACLE 2024/25, JDT kini dilihat sebagai pasukan yang mampu mencabar mana-mana lawan hasil keupayaan pemain seperti Afiq Fazail yang sentiasa bersedia memberikan impak besar pada bila-bila masa diperlukan.