Manchester United dikritik hebat selepas tindakan mereka melepaskan Scott McTominay ke Napoli dilihat sebagai antara kesilapan terbesar dalam strategi perpindahan pemain kelab itu. McTominay, yang lahir daripada akademi United, berpindah ke kelab Serie A tersebut musim panas lalu dengan nilai 27.5 juta pound (RM158 juta).
Penyokong United nyata kecewa apabila melihat McTominay menyerlah di Napoli dengan membantu kelab itu mengekalkan kejuaraan liga dalam musim pertamanya. Malah, dia kini menjadi idola baharu penyokong Napoli kerana semangat juangnya di padang.
Menurut bekas jurulatih United, Benni McCarthy, langkah menjual pemain berusia 28 tahun itu adalah keputusan yang sukar diterima akal. McCarthy, yang pernah bekerja rapat dengan McTominay ketika di bawah kendalian Erik ten Hag, percaya United telah melepaskan permata berharga.
“Ya, menjual pemain akademi memang mendatangkan keuntungan bersih dari sudut kewangan. Tetapi harga yang dibayar untuk kehilangan pemain seperti Scotty terlalu mahal dari sudut semangat dan kepimpinan,” kata McCarthy.
Tambahnya, kehadiran pemain tempatan seperti McTominay penting untuk mengekalkan budaya kelab yang dibina sejak sekian lama. Menurut beliau, pemain berkarakter besar seperti McTominay mampu menaikkan moral rakan sepasukan.
“Dia mungkin bukan pemain dengan skil teknikal terbaik, tetapi dia ada jiwa besar. United cuba gantikan dengan Matheus Cunha, tetapi tidak mudah cari semula semangat itu,” jelasnya lagi.
McCarthy juga berkongsi cerita bagaimana beliau pernah cuba membawa Cody Gakpo ke Old Trafford. Namun hasrat itu tidak kesampaian kerana halangan dari bahagian pencarian bakat.
“Gakpo adalah sasaran utama. Ejen dia pun rapat dengan Erik. Rundingan berjalan lancar tetapi akhirnya semuanya gagal,” katanya.
Keputusan United melepaskan McTominay menjadi topik hangat di kalangan pemerhati bola sepak kerana pemain tengah itu kini membuktikan nilainya di pentas Serie A. Banyak pihak melihat Napoli sebagai pihak yang lebih untung, memperoleh pemain berkualiti dengan harga yang dianggap rendah berbanding sumbangannya.
Langkah menjual McTominay pada harga sederhana turut mencetus persoalan tentang strategi jangka panjang United. Ramai menganggap kelab itu perlu lebih berhati-hati agar tidak mengulangi kesilapan sama pada masa depan.
Prestasi cemerlang McTominay di Itali seolah-olah menjadi ‘tamparan’ buat pihak pengurusan United yang kini terpaksa bergelut membina skuad baharu dengan kos lebih tinggi. Sokongan penyokong United kini terarah kepada pengurusan agar tidak mengabaikan pemain-pemain tempatan yang lahir daripada akademi sendiri.
Di Napoli, McTominay terus membuktikan betapa United kehilangan seorang pemain berjiwa besar yang mampu menjadi simbol kelab. Kini, beliau menjadi antara watak penting di bilik persalinan Napoli dan bakal memainkan peranan besar dalam misi mempertahankan kejuaraan musim mendatang.