sukan

Safawi Rasid kini sah bergelar pemain Kuala Lumpu

Pemain kebangsaan, Safawi Rasid kini sah bergelar pemain Kuala Lumpur (KL) City FC selepas kelab berkenaan mengesahkan penyertaannya bagi musim 2025-2026. Pengumuman itu dibuat menerusi laman media sosial rasmi KL City, sekali gus meraih perhatian luas kalangan peminat bola sepak tempatan.

Dalam kenyataan ringkas yang disiarkan, KL City menzahirkan rasa teruja dengan kehadiran Safawi, yang disifatkan sebagai antara pemain terbaik yang dimiliki negara pada masa ini.

“Salah satu bakat paling yang terbaik dalam bola sepak Malaysia kini secara rasmi menjadi sebahagian daripada keluarga kami! Selamat datang ke Ibu Kota, Safawi Rasid!,” demikian coretan KL City yang turut menerima reaksi positif daripada ribuan penyokong.

Perkembangan ini sekali gus melengkapkan persiapan KL City yang sebelum ini telah membawa masuk bekas jurulatih Melaka United, Risto Vidakovic, sebagai ketua jurulatih baharu mereka. Risto dijangka membawa pendekatan taktikal baharu dalam usaha mengangkat prestasi City Boys ke tahap lebih tinggi.

Safawi pula menerusi platform Instagram miliknya berkongsi beberapa foto nostalgia sewaktu beraksi bersama Terengganu FC. Pemain itu turut menulis pesanan penuh makna buat bekas rakan sepasukan dan penyokong TFC yang sentiasa memberikan sokongan tidak berbelah bahagi.

“Semua ini menggambarkan segalanya, banyak kenangan yang saya cipta. Pengalaman, penyokong yang hebat, rakan sepasukan yang luar biasa, barisan kejurulatihan yang prihatin dan pelbagai emosi yang tak dapat digambarkan,” kata Safawi dengan penuh rasa syukur.

Beliau juga menambah, “Terima kasih kepada semua yang sentiasa memberi sokongan, tidak kira di dalam atau luar padang. Namun inilah bola sepak, saya tiada ucapan lain selain yang terbaik buat semua. Semoga berjaya TFC untuk musim yang akan datang.”

Dalam rekod musim lalu, Safawi berjaya mencatatkan 35 penampilan dengan menghasilkan 18 gol serta lima bantuan jaringan. Statistik cemerlang ini jelas menunjukkan betapa pentingnya Safawi dalam memastikan kelabnya sentiasa berdaya saing.

Kini, harapan besar dipikul Safawi untuk membawa nafas baharu di KL City FC yang dilihat semakin agresif memperkukuh pasukan. Para penyokong City Boys pastinya menanti dengan penuh harapan untuk melihat gandingan mantap di bawah sentuhan jurulatih baharu, di samping Safawi yang berpengalaman luas di pentas Liga Malaysia.

Kesemua langkah yang diatur oleh KL City ini menjadi bukti jelas bahawa mereka serius dalam usaha mencabar kejuaraan pada musim akan datang. Dengan kehadiran pemain bertaraf kebangsaan seperti Safawi, diharap barisan serangan City Boys menjadi lebih tajam dan berbahaya kepada pihak lawan.