sukan

“Kalau tiada kemahuan itu yang susah, tapi mereka ada kemahuan “

Isu kontrak Pearly Tan-M Thinaah dilihat tidak memberi kesan langsung kepada komitmen mahupun prestasi mereka dalam latihan, demikian menurut ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak. Beliau menegaskan bahawa Pearly dan Thinaah terus mempamerkan disiplin tinggi serta mengikut segala perancangan latihan seperti biasa.

“Kalau benda itu ada masalah, saya akan bersuara. Tapi setakat ini tiada apa-apa masalah dengan saya. Dari segi latihan, tiada kesan yang mengganggu. Mereka tetap fokus, ikut segala arahan dan menunjukkan kemahuan tinggi.

“Kalau tiada kemahuan itu yang susah, tapi mereka ada kemahuan. ‘Up and down’ itu perkara normal, tetapi ia tidak mengganggu saya dalam proses latihan mereka,” katanya di ABM, Bukit Kiara.

Kemelut kontrak pasangan beregu wanita nombor satu negara itu timbul apabila mereka masih belum memeterai kontrak baharu biarpun kontrak lama telah tamat pada Disember lalu. Keadaan ini menimbulkan pelbagai persoalan mengenai kesinambungan kerjasama Pearly dan Thinaah bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Dalam pada itu, Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, memaklumkan bahawa beliau sudah pun mengadakan pertemuan bersama Pearly dan Thinaah bagi membincangkan hal tersebut. Perbincangan berjalan lancar dan pihak BAM optimis isu berkenaan dapat diselesaikan sebelum Kejohanan Terbuka Jepun yang akan membuka tirai pada 15 hingga 20 Julai nanti.

Sebagai pasangan beregu nombor tiga dunia, Pearly dan Thinaah kini sedang mempergiatkan latihan bagi menghadapi kejohanan penting seperti Terbuka Jepun, diikuti Terbuka China yang dijadualkan berlangsung pada 22 hingga 27 Julai serta Kejohanan Dunia di Paris, Perancis dari 25 hingga 31 Ogos.

Dalam empat penampilan terakhir, mereka berjaya menambah koleksi kejuaraan dengan menjuarai Terbuka Thailand selain muncul naib juara Terbuka Indonesia, mara ke separuh akhir Masters Malaysia dan suku akhir Terbuka Singapura.

Walaupun terpalit isu kontrak, tumpuan Pearly dan Thinaah tetap tidak terganggu. Dedikasi yang ditunjukkan oleh kedua-duanya mendapat pujian ramai yang melihat mereka sebagai antara sandaran utama negara dalam misi memburu kejuaraan di pentas dunia.

Dengan kejohanan penting bakal berlangsung, peminat badminton tempatan menaruh harapan agar kemelut kontrak Pearly-Thinaah dapat diselesaikan segera. Semua pihak mahu melihat mereka turun beraksi dengan fokus sepenuhnya untuk mengharumkan nama Malaysia.