sukan

Selangor FC belum selamat

Selangor FC (SFC) tidak seharusnya selesa meskipun ketika ini gelaran naib juara Liga Super seakan sudah berada dalam genggaman mereka dengan kelebihan lapan mata mengatasi pencabar terdekat, Sabah FC.

Skuad The Red Giants ketika ini menghimpun 43 mata sementara Sabah FC yang dilihat sebagai pencabar bagi gelaran naib juara mengutip 35 mata dengan kedua-dua pasukan masih memiliki tiga perlawanan untuk diharungi.

Penjaga gol SFC, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi mengingatkan rakan sepasukan supaya kekal fokus sehingga penghujung musim bagi memastikan gelaran naib juara yang dimenangi musim lalu dapat dipertahankan.

“Ada beberapa perlawanan lagi jadi kita tidak boleh ambil mudah dalam baki perlawanan itu. Kita perlu tetap meraih kemenangan supaya dapat kekal di tangga kedua.

“Saya harap rakan sepasukan dapat terus memberikan yang terbaik sehingga penghujung musim. Selepas seri pada aksi sebelum ini, kita perlu bangkit,” katanya.

SFC akan berdepan Kelantan Darul Naim FC (KDN) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Sabtu ini sebelum ke Kuching untuk berdepan Kuching City FC.

Skuad bimbingan Katsuhito Kinoshi akan menutup kempen berdepan Terengganu FC (TFC) di laman sendiri.

sumber:- BH

Sebagai rekod, gelaran naib juara Liga Super akan memberi peluang kepada SFC beraksi di pentas Asia sekali lagi sekiranya Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya mempertahankan Piala Malaysia musim ini.