sukan

Peluang Pang Ron-Su Yin tebus kekecewaan

Jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto mengharapkan gandingan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin mempamerkan kebangkitan selepas terkandas seawal pusingan kedua di Terbuka Jerman, minggu lalu.

Di Terbuka Jerman, Pang Ron-Su Yin dilihat mempunyai peluang untuk meraih keputusan yang lebih baik berbanding tewas seawal pusingan kedua kepada gandingan China, Gao Jia Xuan-Wu Meng Ying 17-21, 21-11, 21-16.

“Di Terbuka Jerman tak ramai (pemain utama), sepatutnya mereka dapat ambil kesempatan daripada situasi itu,” kata Nova ketika ditemui media selepas latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.

Pang Ron-Cheng Su Yin dijadual menyertai pusingan pertama Masters Orleans esok dan Nova berharap, anak buahnya dapat bangkit dan bermotivasi tinggi.

“Saya harap mereka dapat bangkit semula dan jangan hilang keyakinan lagi di Masters Orleans. Kalau segala-galanya berjalan dengan baik, mereka mampu mara lebih jauh di Masters Orleans,” katanya.

Berdasarkan pengamatan Nova, apa yang menimbulkan sedikit kebimbangan adalah apabila Pang Rong-Su Yin dilihat sering meletakkan tekanan kepada diri sendiri sehingga menjejaskan rentak permainan mereka.

“Ketika sesi latihan pun saya tengok mereka sering tertekan. Sebenarnya tekanan itu datang daripada diri mereka sendiri. Sebab mereka sentiasa rasa boleh (tewaskan lawan).

sumber:- BH

“Apabila terlalu memikirkan kemenangan, mereka akan menjadi tidak selesa dan ia mula menjejaskan emosi mereka,” kata Nova mengenai pasangan di ranking ke-14 dunia itu.