sukan

Juara dua kali mahu sambar Arif Aiman

Kelibat bintang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi terus menjadi bahan tumpuan di pentas bola sepak Asia.

Selepas mempamerkan persembahan cemerlang dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), pemain berusia 23 tahun itu dikatakan sedang berada dalam radar kelab gergasi Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors.

Spekulasi itu tercetus susulan Markaj News menerusi laman X yang mendakwa juara sembilan kali Liga 1 Korea itu ketika ini memantau persembahan Arif Aiman.

Ia bukan kali pertama Arif Aiman dikaitkan dengan pasukan luar negara yang mana sebelum ini dia juga dikatakan mendapat tawaran lumayan daripada kelab Iran.

Laman penyokong iaitu Rangers Journal juga mengiktiraf bakat dan kualiti yang dimiliki Arif Aiman, malah mereka mencadangkan supaya gergasi Scotland itu membawa masuk bintang berusia 23 tahun itu.

Seandainya benar dakwaan Arif Aiman menarik minat Jeonbuk, namun muncul juga persoalan adakah Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia itu akan menyertai kelab berkenaan?.

Berdasarkan situasi semasa, seakan sukar untuk perkara itu menjadi kenyataan dengan melihat beberapa faktor terutama ‘kedudukan’ JDT yang berada di atas Jeonbuk.

Meskipun pernah memenangi Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2006 dan 2016, namun prestasi tidak menentu membelenggu Jeonbuk dalam beberapa musim kebelakangan ini dengan mereka menamatkan saingan liga musim lalu di tangga ke-10.

Malah, menerusi temubual bersama Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), the-AFC.com, sebelum ini, Arif Aiman juga sudah memberi bayangan bahawa dia mahu kekal beraksi bersama JDT untuk jangka panjang.

“Matlamat jangka panjang saya adalah untuk terus meningkat sebagai pemain dan terus beraksi pada tahap tertinggi untuk JDT. Saya perlu terus bekerja keras untuk berada di tempat saya hari ini.

“Saya berasa tahap saya masih belum cukup, jadi saya akan terus berusaha dan menumpukan kepada matlamat yang tinggi,” katanya.

sumber:- BH

Arif Aiman menjadi antara watak penting dalam memacu JDT ke pusingan 16 terakhir ACLE dengan dia meledak lima gol setakat ini, hanya satu gol di belakang bintang Al Nassr, Cristiano Ronaldo yang berada di kedudukan kedua carta penjaring.