Selepas gelaran juara Liga Super musim ini dinoktahkan dengan ‘skrip’ sama yang menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) mengekalkan kejuaraan buat kali ke-11 berturut-turut, ada perkara lain yang masih menjadi persoalan sebelum Liga Super musim ini menutup tirainya.
Skuad bimbingan Hector Bidolgio ‘bermain bunga api’ lebih awal di mana mereka mengesahkan kejuaraan bagi musim ini pada perlawanan ke-20 – kejuaraan awal ini sama seperti beberapa musim sebelum ini.
Persoalannya, berapa pula jurang mata yang bakal disaksikan antara JDT dengan pasukan di tangga kedua pada musim ini di mana pada musim lalu, skuad Hariau Selatan membuka jurang 15 mata dengan naib juara, Selangor FC (SFC) selepas 26 perlawanan.
Bagi musim ini pula, JDT sudah berkelebihan 15 mata mengatasi SFC ketika liga beraksi empat perlawanan dan jurang itu boleh terus dilebarkan jika SFC tercicir mata menuju ke penghujung liga.
Ketika diminta mengulas mengenai senario ini, pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim tidak dapat menafikan betapa gergasi bola sepak tempatan itu agak mustahil untuk dikejar pasukan lain kerana mereka sudah berada pada kelas yang tersendiri.
Namun, Zulakbal yang juga Tenaga Pengajar Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) itu menggesa pasukan lain supaya setidak-tidaknya tidak ‘layu awal’ dan sekurang-kurangnya mampu memberi cabaran kepada JDT sehingga hujung musim dengan tidak membenarkan mereka mengesahkan kejuaraan dengan cepat.
“JDT memang nombor satu jadi saya lihat amat mustahil untuk pasukan lain bersaing dengan mereka dalam masa lima ke 10 tahun akan datang. Bukan mahu memperkecil kemampuan pasukan lain tetapi ini realitinya di mana saban tahun, mereka menjadi semakin sukar untuk ditangani.
“Mungkin jurang mata sebelum ini tidak terlalu besar kerana pasukan lain masih ada semangat yang tinggi untuk melawan. Tetapi saban tahun, mereka tampaknya sudah berputus asa dan hanya sasarkan untuk jadi naib juara jadi sudah tiada ‘fight’.
“Pasukan yang bertanding ini perlu mengatur strategi bagi menyekat JDT bermaharajalela di awal musim ini. Mungkin dengan cara ini mereka tidak ketinggalan jauh dan dapat memberi saingan sehingga penghujung.
sumber:- BH
“Jika hendak menjadi juara itu terlalu sukar, saya berpendapat penyokong sekurang-kurangnya mahu lihat pasukan lain beri cabaran kepada JDT sehingga penghujung musim. Tidaklah seperti apa yang kita lihat di mana JDT sudah menjadi juara liga terlalu awal,” katanya.