sukan

‘Darren Lok tak salah’

Pengendali Sabah FC, Martin Stano enggan menyalahkan penyerangnya, Darren Lok yang gagal menyempurnakan sepakan penalti pada babak kedua untuk menyaksikan pasukannya seri tanpa jaringan dengan Selangor FC, malam tadi.

Dalam aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu, skuad The Rhinos dilihat berpotensi membawa pulang tiga mata selepas semakan VAR menyaksikan adanya terjahan terhadap Saddil Ramdani di dalam kotak penalti.

Begitupun, Lok yang juga penyerang skuad Harimau Malaya menewaskan Kalamullah Al-Hafiz yang ternyata sudah bersedia untuk menghalang sepakan lawan itu.

Menurut Stano, beliau tidak mahu menuding jari sepenuhnya di bahu Lok di atas kegagalan penalti itu kerana baginya ia adalah lumrah dalam bola sepak.

Sebaliknya, pemain perlu melupakan segera keputusan di Stadium MBPJ dengan mengalih tumpuan dan bangkit dalam baki aksi Liga Super selepas ini.

“Kadang-kadang ia berlaku (sepakan penalti tak masuk), ini lah bola sepak. Saya tidak mahu menyalahkannya, dan itu bola sepak.

“Kita banyak lagi perlawanan pada minggu depan dan kita perlu fokus,” katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.

Dalam perkembangan sama, Stano memuji ketangkasan penjaga golnya, Damien Lim yang banyak menggagalkan percubaan-percubaan penyerang Selangor FC sepanjang aksi itu.

“Damien Lim membuat banyak aksi menyelamat, pemain lain juga membantunya. Dia antara pemain utama kita,” katanya yang menggantikan tempat Datuk Ong Kim Swee pada November lalu.

Sabah FC kini berada di tangga ketiga Liga Super dengan 35 mata selepas 20 aksi dilalui, dan masih berpeluang memintas Selangor FC di tempat kedua yang dibezakan lapan mata.

sumber:- HM

Namun untuk memastikan misi itu berjaya, Sabah FC wajib menang kesemua baki empat aksi sambil mengharapkan skuad Red Giants tumbang dalam tiga aksi selepas ini.