Berbaki empat bulan sebelum kontrak lima tahun berakhir Jun ini, persoalan mengenai hala tuju ‘wonderkid’ negara, Luqman Hakim Shamsudin kini menjadi tanda tanya.
Berdasarkan semakan Arena Metro, Luqman yang mula menyertai kelab Belgium, KV Kortrijk pada 2020 bakal mengakhiri kontraknya Jun ini dan difahamkan penjaring terbanyak Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 16 (B-16) pada 2018 itu masih belum membuat keputusan.
Difahamkan, Luqman kemungkinan bakal pulang ke tanah air untuk meneruskan kariernya di Liga Malaysia (Liga M) selepas ini.
Biarpun berkelana selama lima musim di Eropah serta di Jepun, harapan Luqman untuk terus kekal di luar negara dilihat agak sukar kerana jarang diberikan peluang untuk beraksi.
Begitupun jurulatih berpengalaman, Sulaiman Hussin menganggap ia bukan penamat kepada impian anak jati kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu sebaliknya kepulangan ke Liga M mungkin boleh memberi peluang buatnya kembali menemui sentuhan penyudah yang sebelum ini cukup tajam.
Sulaiman percaya Luqman masih memiliki potensi untuk menyerlah, namun pemilihan kelab di Liga M mestilah tepat dengan Sulaiman melihat dua kelab iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC tempat yang sesuai.
“Sudah tentu dua kelab iaitu JDT dan Selangor bagi saya pilihan tepat untuk Luqman.
“Kenapa saya melihat dua kelab ini, ia kerana kedua-duanya beraksi di peringkat tertinggi di ACL (Liga Juara-Juara Asia).
“Saya harap Luqman dapat kembali dan cari semula permainan dia yang sudah lama hilang. Dia masih muda, berusia 22 tahun dan masih ada masa untuk membuktikan diri dia.
“Bagi saya, dia tidak gagal di Eropah tapi dia kena tangguhkan sementara hasrat nak main di sana sekarang. Dia buktikan sesuatu di Liga M dan cuba beraksi baik di pentas antarabangsa sama ada bersama kelab di ACL serta skuad kebangsaan.
“Selepas itu dia boleh buat ‘come back’ dan cuba intai balik peluang di Eropah. Maknanya cari dan ‘polish’ balik sentuhan dan permainan dia. Bagi saya Liga M berkualiti dan Arif Aiman Hanapi sudah membuktikannya.
“Jadi saya fikir Luqman pun boleh. Cuma pemilihan kelab di Liga M kena tepat supaya boleh membantu melonjakkan dia kembali ke tahap sebenar,” kata Sulaiman yang kini bertindak selaku Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur.
Untuk rekod, sepanjang lima musim di luar negara khususnya bersama KV Kortrijk, Luqman sudah merekodkan tiga penampilan bersama skuad utama kelab itu.
Bagaimanapun, dia lebih menyerlah bersama skuad B-21 KV Kortrijk apabila mengumpulkan 11 gol dan 14 bantuan gol dalam 30 aksi bersama pasukan itu.
Ia dianggap rekod cukup baik buat pemain yang datang dari Asia Tenggara apabila tahap saingan B-21 Belgium juga dianggap kompetitif.
Begitupun di atas keinginan tinggi Luqman untuk beraksi lebih kerap dalam liga utama, bekas rakan sepasukan Arif Aiman di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu, memohon untuk beraksi bersama kelab Iceland, Njarovik (2023) dan YSCC Yokohama (2024) di Jepun secara pinjaman.
“Dia sudah ada pengalaman lima musim beraksi di luar negara yang saya kira cukup berharga.
“Pengalaman diraih Luqman bukan mudah dan saya fikir jika dia dapat gunakan di Liga M sudah pasti dia akan cepat menyesuaikan diri dan kembali meletup,” kata Sulaiman.
sumber:- HM
Luqman pernah disenaraikan sebagai antara 60 pemain muda paling berbakat di dunia yang dikeluarkan The Guardian di atas kecemerlangannya ketika beraksi di Kejohanan AFC B-16 serta beberapa saingan B-17 dan B-19 sebelum ini.