sukan

Kuala Lumpur tambah derita Finalis Piala Cabaran

Kuala Lumpur (KL) City menambah derita PDRM apabila merekodkan kemenangan 2-1 ketika kedua-dua pasukan itu bertembung dalam aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Kekalahan itu dialami PDRM selepas empat hari mereka dikecewakan Selangor dalam aksi final Piala Cabaran yang menyaksikan The Cops gagal mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu.

Pada aksi sebentar tadi, KL City yang dilihat mempamerkan persembahan lebih baik berjaya berada di depan pada minit ke-23 hasil jaringan Paulo Josue yang melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti.

Bintang muda City Boys, Haqimi Azim Rosli kemudian menambah gol kedua pada minit ke-50 selepas pemain PDRM, Amir Saiful Badeli gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

PDRM berjaya memecahkan kebuntuan jaringa menerusi ledakan Chidi Osuchukwu pada masa kecederaan, namun ia sudah terlambat untuk mereka sekurang-kurangnya bangkit mencuri satu mata.

Kemenangan itu membolehkan KL City mendaki satu anak tangga ke kedudukan keenam dengan mengumpul 25 mata selepas mengharungi 20 perlawanan.

sumber:- BH

Sementara itu, PDRM yang beraksi kurang satu perlawanan kekal di tangga kelapan dengan menghimpun 21 mata.