sukan

Komen TMJ selepas JDT raih kejuaraan ke-11 berturut-turut

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menzahirkan kesyukuran selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) menepati ramalan merangkul kejuaraan Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut, malam tadi.

Skuad Harimau Selatan mengesahkan kejuaraan musim ini lebih awal selepas menewaskan Perak 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim dengan mengumpul 58 mata ketika perjuangan mereka masih berbaki empat perlawanan.

Selepas kejayaan itu, Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik JDT menulis “Alhamdulillah” di ruangan komen Instagram rasmi kelab, officialjohor yang memuat naik gambar grafik memaparkan kejuaraan Liga Super ke-11 kelab itu.

Jaringan JDT disumbangkan bekas penyerang Real Madrid, Jese Rodriguez di hujung babak pertama sebelum pemain dari Colombia, Jorge Obregon menambah gol kedua menerusi sepakan penalti pada minit ke-64.

Kejayaan itu menyaksikan JDT sudah meraih 29 trofi sejak kelab berkenaan ‘dijenamakan’ pada 2013 oleh Tunku Mahkota Ismail.

Jumlah trofi yang dirangkul Harimau Selatan selain Liga Super termasuk sembilan kejuaraan Piala Sumbangsih, empat Piala Malaysia, empat Piala FA dan satu Piala AFC.

Sementara itu, Rodriguez menerusi laman Instagram miliknya meluahkan kegembiraan apabila berjaya meledak gol untuk membantu JDT mengesahkan kejuaraan Liga Super musim ini dan menjadi sebahagian dari sejarah kelab itu.

“Tahniah kepada seluruh keluarga JDT. Saya gembira berada di sini dan berasa seperti di rumah sendiri. Ayuh kita capai lebih banyak kejayaan!

sumber:- BH

“Bersama-sama, kita akan melakar cerita yang hebat. Ini perlawanan ketiga berturut-turut saya dengan menjaringkan gol,” tulis Rodriguez.