Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio menegaskan kejayaan meraih kejuaraan Liga Super kali ke-11 berturut-turut pada musim 2024/ 2025 adalah hasil kerjasama berpasukan dibentuk pemilik kelab berkenaan, Tunku Mahkota Ismail.
Bidoglio berkata, Baginda sentiasa menjadi aspirasi dengan memberi motivasi kepada setiap pemain dan kerap dekat dengan mereka.
Katanya, keakraban itu membentuk semangat kekeluargaan yang memberi lebih keyakinan buat pemain memberi persembahan terbaik sehingga menjulang kejuaraan liga.
“Saya ingin ucapkan terima kepada bos kami (Tunku Mahkota Ismail) yang memberi kepercayaan untuk membimbing JDT, malah tidak dilupakan penyokong JDT yang sentiasa memberi sokongan dan setiap pemain yang berkorban untuk memastikan JDT terus gemilang pada musim ini.
“Tidak dinafikan segala keringat dicurahkan oleh pemain berbaloi pada musim ini, bukan sahaja dalam saingan liga domestik, malah mereka membuktikan dalam saingan antarabangsa selepas layak ke pusingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).
“Menerusi kejayaan diraih, bukan bermakna kami sudah selesa, sebaliknya kami harus kekal fokus kepada diri sendiri tatkala ada baki empat perlawanan lagi yang perlu dihadapi selain saingan ACLE yang bagi saya begitu mencabar,” katanya.
Mengulas mengenai kemenangan 2-0 ke atas Perak FC pada aksi liga di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi, pengendali kelahiran Argentina itu mengakui skuad bimbingan Yusri Che Lah memberi kesukaran buat barisan pemain Harimau Selatan apabila bermain secara bertahan.
Katanya, aksi pada babak pertama begitu mencabar apabila pemain Perak membentuk tiga lapisan di kawasan sendiri sehingga sukar untuk pemain JDT mencari ruang menyusup masuk ke kawasan kotak penalti pasukan lawan.
“Mereka beraksi secara berkumpul di kawasan sendiri dan begitu kompak. Corak begitu sukar untuk kami menyusun strategi kerana ruang cukup sempit.
“Tetapi, pemain JDT jelas bermain tanpa tekanan dan bersabar dengan mengumpan bola dan pantas membuka ruang.
“Walaupun pemain lawan bermain secara negatif dengan bertahan, pemain JDT menguasai permainan dengan menggerak bola di posisi sayap kiri dan kanan dan pantas mengambil kesempatan daripada kesilapan pemain lawan untuk menjaringkan gol,” kata Bidoglio.
Selepas misi menjulang kejuaraan liga, Bidoglio kini akan memberi sepenuh tumpuan bagi persiapan pada aksi ACLE berdepan Buriram United di Stadium Arena Chang, Buriram, 4 Mac ini.
“Kami ada masa secukupnya untuk membuat persiapan sebelum terbang ke Thailand.
sumber:- HM
“Kini tumpuan kepada saingan peringkat Asia selepas meraih kejuaraan liga domestik dan aksi timbal balik itu nanti amat penting buat JDT,” ujar Bidoglio.