sukan

Ini Jumlah hadiah dibolot JDT selepas dinobat juara Liga Super buat kali ke-11

Kejayaan mempertahankan kejuaraan Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut bukan sahaja membolehkan Johor Darul Ta’zim (JDT) melebarkan rekod baharu dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Malah, ia turut menyaksikan kantung skuad Harimau Selatan terus terisi apabila meraih habuan RM2.4 juta selepas mengesahkan kejuaraan dengan menewaskan Perak 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

Jumlah itu merangkumi RM500,000 agihan sama rata bagi semua pasukan bertanding dan tambahan RM1.9 juta sebagai agihan merit untuk juara liga.

Skuad Harimau Selatan mengesahkan kejuaraan musim ini lebih awal dengan mengumpul 58 mata ketika perjuangan mereka masih berbaki empat perlawanan, mendahului Selangor yang kekurangan satu perlawanan dengan 16 mata.

BH Sukan sebelum ini melaporkan, JDT yang menjadi wakil tunggal negara di Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menambah RM1.3 juta dalam kantung mereka selepas menewaskan Pohang Steelers 5-2, sekali gus mengesahkan slot ke pusingan 16 terbaik.

Kejayaan menumpaskan wakil Korea Selatan itu membolehkan skuad Harimau Selatan meraih RM444,000 sebagai hadiah kemenangan dan kemaraan ke pusingan kalah mati menyaksikan mereka mendapat ganjaran sebanyak RM889,000.

Secara keseluruhan sepanjang kempen ACLE musim ini, skuad bimbingan Hector Bidoglio itu sebenarnya sudah memperoleh wang ganjaran bernilai RM6.2 juta.

Pada awal kempen, mereka sudah menerima RM3.5 juta selepas layak menyertai saingan tertinggi bola sepak Asia itu dan setiap kemenangan di peringkat kumpulan membolehkan mereka mendapat wang ganjaran sebanyak RM444,000.

sumber:- BH

Mereka menghimpun empat kemenangan daripada lapan perlawanan – menjadikan RM1.7 juta dikutip susulan kemenangan ke atas Shanghai Shenhua, Ulsan HD, Central Coast Mariners dan juga kemenangan terbaru ke atas Pohang Steelers.