sukan

TERKINI : JDT sahkan kejuaraan lebih awal

Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan kejuaraan Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut bagi musim 2024 / 2025 selepas menewaskan Perak FC 2-0 dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Hector Bidoglio mengumpul 58 mata selepas mengharungi 20 perlawanan biarpun masih berbaki empat perlawanan lagi malah pencabar terdekat, Selangor FC (SFC) yang kini mengutip 42 mata tidak mampu memintas Harimau Selatan seandai menang baki lima perlawanan akan mengumpul 57 mata.

Malah JDT tampak `bernafsu’ untuk mencipta sejarah tersendiri dalam pemburuan `Triple Quadruple’ tatkala sudah mengecapi kejayaan menjulang Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super pada musim ini dan kini mengintai kejuaraan Piala Malaysia dalam satu musim selama tiga tahun berturut-turut.

Kesungguhan anak didik Bidoglio memburu kemenanfan bermula dengan percubaan berbahaya Corbin Ong yang menanduk bola seawal minit kelapan dan selang seminit rembatan leret Arif Aiman Hanapi yang diselamatkan penjaga gol, Haziq Nadzli.

Skuad Harimau Selatan terlepas untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-25 selepas bola sepakan sudut Arif Aiman tepat kepada Eddy Israfilov yang menanduk bola hanya sipi di sebelah kiri gawang ketika Haziq Nadzli sudah tertewas.

Ketika aksi berbaki seminit ditamatkan pada babak pertama, kelicikan Arif Aiman yang berjaya melepasi kawalan Tommy Mawat berjaya menyusup masuk ke dalam kotak penalti dan pantas melorong bola kepada Jese Rodriguez yang tidak dikawal merembat leret menewaskan Haziq Nadzli.

Ketika aksi memasuki minit ke-61, pengadli Ahmad Zuhaidi Dzulkifli mengesan bola terkena tangan pemain pertahanan Perak FC, Ariff Ar-Rasyid Arifin di dalam kotak penalti dan tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti.

sumber:- BH

Obregon yang mengambil sepakan penalti pada minit ke-63 mudah menyepak bola leret tepat ke penjuru kanan menewaskan Haziq Nadzli untuk meletak tuan rumah selesa mendahului 2-0 dan kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan.