Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi melihat kehadiran ramai wakil beregu lelaki negara di kejohanan Seluruh England 2025 bakal memberi kelebihan besar buat kem Malaysia.
Untuk kejohanan berprestij yang berlangsung dari 11 hingga 16 Mac itu, Malaysia mempunyai tujuh pasangan beregu di mana empat daripadanya adalah daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King dan Chong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri.
Manakala tiga lagi adalah wakil profesional iaitu beregu nombor dua dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong.
“Kita mempunyai tujuh beregu lelaki Malaysia yang akan beraksi di Seluruh England kali ini. Ini satu jumlah yang besar dan pastinya membantu pemain lebih bersedia.
“Dengan kehadiran ramai wakil negara, saya percaya mereka dapat melakukan persiapan menentang negara-negara lain,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.
Penyertaan tujuh beregu lelaki negara itu juga meningkatkan peluang Malaysia untuk menamatkan kemarau kejuaraan selama 18 tahun dalam acara berkenaan sejak gandingan Koo Kiean Keat-Tan Boon Heong muncul juara pada 2007.
Sementara itu, mengenai peluang Aaron-Wooi Yik di Seluruh England, Herry tetap optimis namun berkata, bekas juara dunia itu masih dalam proses menyesuaikan diri dengan sistem latihannya.
“Peluang itu selalu ada. Tapi saya rasa persiapan mereka masih belum mencapai tahap maksimum. Aaron dan Wooi Yik masih menyesuaikan diri dengan program-program latihan saya,” katanya.
sumber:- HM
Aaron-Wooi Yik pernah muncul naib juara Seluruh England pada 2019 serta tahun lalu.