Ketua jurulatih Kuching City FC (KCFC), Aidil Sharin Sahak tidak menafikan ada menerima tawaran daripada pasukan lain yang mahu menggunakan khidmatnya pada musim depan.
Bagaimanapun jurulatih kelahiran Singapura itu enggan terburu-buru membuat keputusan sebaliknya mahu menumpukan tugasannya bersama skuad The Cats itu terlebih dahulu.
“Sejujurnya ada tawaran daripada pasukan lain yang mahukan khidmat saya pada musim akan datang, tapi saya tidak mahu memikirkannya lagi mengenai perkara itu.
“Ini kerana saya menghormati kontrak dengan pasukan Kuching City dalam misi untuk membantu pasukan itu melangkah lebih jauh dalam saingan Liga Super yang berbaki enam perlawanan lagi.
“Selepas saingan Liga Malaysia (Liga M) berakhir nanti, baharulah saya akan membuat keputusan, lagipun dalam sukan ini kita tidak tahu apa yang berlaku selepas ini.
“Tapi saya mahu fokus apa yang ada di depan mata saya terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan Liga Super berdepan dengan Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam kelmarin yang berakhir dengan keputusan 2-2.
Ketika ditanya berapa pasukan yang cuba melamarnya, jurulatih berusia 48 tahun itu enggan mendedahkannya sebaliknya mahu ianya dirahsiakan terlebih dahulu.
sumber:- HM
Berdasarkan rekod, bekas pemain tengah kelab Home United dalam Liga Singapura itu pernah membantu pasukan Kedah muncul juara Piala FA pada 2019 serta naib juara Piala Malaysia pada tahun yang sama.