sukan

Terengganu FC tanpa Tukhtasinov dan Akhyar

Terengganu FC (TFC) terpaksa melakukan sedikit rombakan dalam kesebelasan utama sebelum berdepan Kuching City FC dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam esok.

Ketua jurulatihnya, Badrul Afzan Razali berkata, pemain tengah Nurillo Tukhtasinov dan pemain sayap lincah, Akhyar Rashid terpaksa diketepikan kerana penggantungan perlawanan dan masalah kesihatan.

Beliau mengakui persiapan pasukan sedikit terganggu selepas tidak dapat menyenaraikan Tukhtasinov yang mengutip tiga kad kuning sekali gus digantung satu perlawanan.

“Akhyar mengalami masalah kesihatan iaitu demam selain cirit-birit sejak beberapa hari lalu, jadi kita akan lihat perkembangannya sama ada bersedia diturunkan atau sebaliknya.

“Bagaimanapun saya percaya pemain yang akan menggantikan tempat Tukhtasinov dan Akhyar mampu menjalankan tugas dengan baik untuk mengutip tiga mata penuh di tempat sendiri.

“Ikut perancangan, saya mungkin menurunkan Akram Mahinan menggantikan tempat Tukhtasinov dan Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob mengambil posisi Akhyar,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, semalam.

Selain itu, beliau meletakkan harapan yang tinggi supaya pemain dapat memanfaatkan peluang beraksi di tempat sendiri selepas terkulai di tangan Kuala Lumpur (KL) City FC di gelanggang sama, minggu lalu.

“Kita sedar pertahanan skuad The Cats sukar ditembusi, jadi saya harapkan pemain terutama barisan penyerang perlu bijak menghidu peluang untuk menjaringkan gol.

sumber:- BH

“Buat pertahanan, lupakan kesilapan lalu ketika bertemu KL City, sebaliknya perlu perkemaskan lagi corak permainan bagi mengelak ‘berputih mata’ buat kali kedua berturut-turut,” katanya.