sukan

Siap sedia lah RM300,000

Tidak ada masalah untuk bekas pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Fitri Maskon ‘membela’ dirinya dan mencabar pemecatan daripada badan induk itu dengan memanjangkan kes itu ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Bagaimanapun, peguam undang-undang sukan, Zhafri Aminurashid melihat ia bukanlah satu tindakan yang praktikal memandangkan ia membabitkan kos yang terlampau tinggi untuk membawa kes itu sehingga ke CAS.

“Sepatutnya Fitri boleh buat rayuan kepada FAM tetapi yang akan buat keputusan mengenai perkara itu, FAM juga. Kalau dia nak pergi (bawa) ke CAS pun boleh juga.

“Tetapi kena siap sedialah dengan kos guaman yang boleh mencecah RM300,000,” kata Zhafri.Dalam perkembangan sama, Zhafri juga tidak bersetuju dengan perkataan ‘memecat’ yang digunakan oleh FAM ke atas Fitri dengan beliau menyifatkan ia bukanlah satu perkataan yang sesuai bagi menggambarkan hukuman yang dikenakan itu.

“FAM yang menentukan dan sahkan pengadil untuk mengadili mana-mana perlawanan di bawah FAM. Namun begitu, perkataan pecat adalah tidak sesuai.

“Ini kerana dia bukanlah kakitangan FAM untuk dipecat. FAM boleh sahaja membuat keputusan untuk tidak melantik Fitri mengadili mana-mana perlawanan di bawah FAM,” katanya.

Sebelum ini, BH Sukan melaporkan Fitri yang menjadi pengadil pertama dipecat oleh FAM sewajarnya diberi ‘talian hayat’ dengan peluang kedua untuk bertugas di belakang tabir sebagai tenaga pengajar ataupun penilai pengadil.

Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim berpendapat, ‘kehilangan’ Fitri bukan sahaja satu kerugian kepada FAM tetapi juga kepada arena kepengadilan negara memandangkan dia bukanlah pengadil yang baharu bertugas dan berpengalaman luas.

Terdahulu, sejarah baharu tercipta dalam arena kepengadilan negara selepas Fitri menjadi pengadil pertama dipecat daripada semua tugasan oleh badan induk itu.

sumber:- BH

Perkembangan itu disahkan Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram selepas pengadil itu menunjukkan prestasi yang lemah pada perlawanan Piala MFL antara Negeri Sembilan FC (NSFC) menentang Selangor FC (SFC) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, minggu lalu.