Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Giorgio Pompili Rossi sah ‘bercerai’ dengan badan pengendali itu hanya selepas lima bulan memegang jawatan terbabit.
Perkembangan itu disahkan MFL menerusi satu kenyataan, hari ini, dengan mereka mengumumkan operasi sekretariat MFL akan dikendalikan oleh Ketua Pegawai Operasinya, Mohd Shazli Shaik Mohd.
“MFL hari ini mengesahkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif, Giorgio Pompili Rossi tidak lagi bersama MFL. Kedua-dua pihak kini dalam proses perbincangan untuk tindakan seterusnya.
“Buat sementara ini, operasi sekretariat MFL akan diterajui oleh Ketua Pegawai Operasi (COO) MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd,” kata badan pengendali liga itu.
Terdahulu, khabar angin bertiup kencang semalam selepas jawatan CEO MFL kembali kosong hanya selepas lima bulan apabila penyandangnya, Giorgio Pompili Rossi didakwa tidak lagi bersama badan pengendali liga itu.
Sumber menjelaskan sebelum ini, tiada pihak yang tampil untuk menjelaskan situasi itu sama ada Rossi melepaskan jawatannnya ataupun beliau dipecat.
“Rossi sudah tidak bersama MFL lagi. Saya tak boleh beritahu sama ada dipecat atau letak jawatan. Pejabatnya juga sudah kosong,” kata sumber berkenaan.
Sebagai rekod, Rossi dilantik sebagai CEO MFL sejak September tahun lalu bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Datuk Stuart Ramalingam.
Beliau bukanlah individu yang asing dalam arena bola sepak Malaysia memandangkan beliau pernah menjadi wakil La Liga Global Network Malaysia sebelum ini.
sumber:- BH
Karier Rossi di Malaysia bermula selaku Delegasi LaLiga pada tahun 2017 sehingga 2021 apabila beliau membawa peranan penting dalam membangunkan jenama liga Sepanyol.