Jaringan tunggal penyerang sensasi, Faizal Saari, memastikan Terengganu Hockey Team (THT) mara ke final Piala TNB 2025 selepas menewaskan kelab Matador 1-0 dalam perlawanan separuh akhir di Stadium Hoki Nasional 2 di sini, hari ini.
Kemenangan itu meletakkan THT di landasan tepat untuk merangkul gelaran ‘treble’ Liga Hoki Malaysia (MHL) 2025, selepas pasukan itu terlebih dahulu menjulang Piala Sumbangsih serta menjuarai liga buat kali ketujuh dengan rekod kemenangan bersih dalam sembilan perlawanan musim ini.
Dalam aksi separuh akhir yang berlangsung dalam cuaca panas, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun gagal memecahkan kebuntuan sepanjang babak pertama.
Gol kemenangan yang dinanti-nantikan akhirnya hadir pada minit ke-40 apabila Faizal menyempurnakan pukulan sudut penalti, sekali gus memastikan kemaraan THT ke final yang bakal berlangsung Sabtu ini.
Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, Faizal, yang kini mendahului senarai penjaring terbanyak MHL 2025 dengan 23 gol, menegaskan THT akan berjuang habis-habisan bagi mengulangi kejayaan treble yang kali pertama diraih pada 2023.
“Aksi ini memang sengit kerana main pukul 4 petang, sekali pecut sahaja sudah terasa kepenatan akibat cuaca panas. Kita juga ada melakukan beberapa kesilapan taktikal dalam pukulan sudut penalti menyebabkan banyak peluang terlepas. Kita kaji balik masalah ini menjelang aksi final.
“Kami mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 11 perlawanan dan jika boleh, kami mahu menang semua perlawanan musim ini untuk menjadikannya lebih bermakna buat saya dan THT. Sama ada memenangi anugerah penjaring terbanyak atau tidak, itu perkara kedua, yang penting mahu cipta kemenangan buat pasukan,” kata pemain berusia 34 tahun itu.
sumber:- BH
Menanti THT di final ialah juara treble tahun lalu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang membenam Maybank 7-4. – BERNAMA