Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) akan menilai aduan Pohang Steelers susulan gangguan menggunakan bunga api pada malam sebelum aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John mengesahkan pihaknya sudah menerima laporan daripada wakil Korea Selatan itu dan mereka akan menilai insiden terbabit sekali gus mengambil tindakan jika ia melanggar peraturan.
Windsor turut menjelaskan ini kali pertama badan induk itu menerima laporan berhubung insiden bunga api namun laporan sebelum ini adalah membabitkan gangguan dengan hon kenderaan.
“Saya boleh sahkan yang kita sudah menerima laporan daripada Pohang dan akan menilai dokumen terbabit. Jika terdapat pelanggaran undang-undang, jawatankuasa terbabit seperti disiplin dan etika akan mengambil tindakan.
“Pasukan tuan rumah bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan dan keamanan bagi pasukan pelawat. Tetapi, insiden ini adalah bungai api dinyalakan berdekatan hotel dan ini di bawah bidang kuasa pihak polis kerana berlaku di kawasan umum.
“Kita ada menerima laporan mengenai gangguan bunyi bising sebelum ini – menggunakan hon kenderaan tetapi bunga api dan hon adalah dua perkara berbeza.
“Pasukan tuan rumah pasti sukar untuk mengawal keadaan di kawasan umum. Sebagai tuan rumah, JDT bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan pasukan pelawat di venue latihan, stadium dan di dalam hotel.
“Tetapi pasukan kelab tidak ada kawalan ke atas kawasan umum seperti jalan raya,” kata Windsor.
Terdahulu, pengendali Pohang Steelers, Park Tae Ha mendedahkan pemainnya terganggu dengan gangguan bunga api yang berlaku antara 11 malam hingga lima pagi berdekatan hotel penginapan mereka.
Situasi itu membuatkan Tae Ha kesal namun menegaskan ia bukanlah faktor yang menyebabkan mereka tumbang 2-5 di tangan skuad Harimau Selatan itu.
“Saya ingin ceritakan apa yang berlaku di hotel kami, malam tadi (kelmarin). Ini kerana ada segelintir individu yang bermain bunga api di luar hotel kami menginap untuk mengganggu tidur pemain kami sepanjang malam, ia berlaku antara 11 malam hingga 5 pagi.
“Apapun, ia bukanlah punca utama kami tumpas dalam perlawanan itu, tapi saya perlu hebahkan perkara ini. ACLE adalah pertandingan berprestij, salah satu kejohanan antarabangsa di bawah kalendar Persekutuan Bola sepak Antarabangsa (FIFA).
sumber:- BH
“Jadi, kita perlu bertanding secara baik dan profesional, perlu menghormati dan memahami lawan. Tak perlu buat provokasi. Saya tidak faham bagaimana perkara ini boleh berlaku,” katanya.