sukan

Kedudukan Aaron-Wooi Yik makin terancam

Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kini dalam zon bahaya apabila peluang mereka untuk terpilih ke Piala Sudirman semakin terancam.

Lonjakan prestasi ditunjukkan gandingan Man Wei Chong-Tee Kai Wun dalam saingan musim ini meletakkan mereka antara pilihan untuk disenaraikan ke kejohanan berpasukan campuran itu.

Wei Chong-Kai Wun yang berada di ranking ke-12 dunia mempamerkan aksi cemerlang tahun ini dengan menjuarai Masters Indonesia dan melangkah ke separuh akhir Terbuka Malaysia.

Malah, mereka juga berjaya menang kedua-dua perlawanan kumpulan di Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) di Qindao, China ketika bertemu Hong Kong dan Indonesia biarpun pasukan sudah tewas.

Justeru, Aaron-Wooi Yik yang menghuni ranking kelima dunia tidak mempunyai pilihan selain menghasilkan keputusan cemerlang di Seluruh England di Birmingham dari 11 hingga 16 Mac dan Kejohanan Badminton Asia di Ningbo, China (8 hingga 13 April) bagi mengukuhkan peluang mereka ke Piala Sudirman.

Dengan pasangan nombor satu negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani hampir pasti dipilih selepas menjuarai Terbuka India bulan lalu, perebutan slot beregu lelaki ke Piala Sudirman kini tertumpu antara Aaron-Wooi Yik dan Wei Chong-Kai Wun.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, berkata peluang masih terbuka untuk kedua-dua pasangan berkenaan dan pemilihan akan bergantung kepada prestasi mereka dalam kejohanan akan datang.

“Kami masih belum membuat keputusan mengenai pasangan yang akan dipilih untuk Piala Sudirman. Ia boleh jadi Aaron-Wooi Yik dan Sze Fei-Izzuddin atau Sze Fei-Izzuddin bersama Wei Chong-Kai Wun.

“Kami mempunyai banyak pilihan dan segalanya bergantung kepada prestasi mereka di Seluruh England dan Kejohanan Badminton Asia.

“Wei Chong-Kai Wun menunjukkan kematangan dalam BAMTC. Mereka tidak mudah putus asa walaupun pasukan sudah tewas dan terus berjuang sehingga ke akhir perlawanan,” katanya.

sumber:- BH

Piala Sudirman akan berlangsung di Xiamen, China dari 27 April hingga 4 Mei depan.