sukan

FAM bunuh karier, malukan Fitri – Subkhiddin

Keputusan memecat pengadil Fitri Maskon boleh dikatakan seperti ‘membunuh’ karier individu terbabit sekali gus menyaksikan perjalanannya dalam arena bola sepak negara sudah berkubur.

Situasi terbabit diakui bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh yang menganggap keputusan itu keterlaluan dan bukan setakat memberi kesan kepada Fitri tetapi turut memalukan banyak pihak disekelilingnya.

Subkhiddin berkata, FAM dilihat agak ‘garang’ untuk mengenakan hukuman tanpa menggunakan alternatif lain bagi menghukum pengadil itu.

“Kita tidak mempertikaikan kuasa FAM tetapi sejarah tercipta dengan begitu pantas. Perlawanan pada 13 haribulan tetapi keputusan dibuat pada 16 haribulan. Sepatutnya keputusan ini boleh dikendalikan dengan cara lebih baik tanpa perlu diumumkan kepada khalayak.

“Pada saya, ini satu keputusan yang drastik dan keterlaluan. Tunjukkan simpati dan empati dan gunakan saluran terbaik. Bawa dalam mesyuarat dan minta dia bersara secara terhormat, tidak perlu pecat kerana setidak-tidaknya, dia boleh lagi menjadi instruktor ataupun penilai selepas ini.

“Kita kena ingat pengadil pun ada keluarga dan majikan mereka. Mereka bertugas secara sukarela di FAM, jadi kita kena hargai dan hormati jasa mereka tetapi kita begitu mudah ambil tindakan itu. Pemecatan ini memang satu implikasi yang sangat besar jadi kita sedih dengan apa yang terjadi.

“Bukan sahaja mencemarkan nama dia, nama keluarga, nama majikan dia pun akan turut terpalit sama dan lebih malang, FAM sudah membunuh dia 100 peratus daripada akar umbi. Dia bukan sahaja pengadil tetapi juga pemain bola. Jadi kita bunuh ‘dua dalam satu’.

“Cuba kita letakkan diri kita di tempat Fitri, bagaimana nanti dia dan keluarganya mahu berdepan masyarat sekeliling. Ini satu impak yang besar dan saya memang sangat tidak bersetuju apabila pemecatannya dihebahkan,” katanya.

Terdahulu, sejarah baharu tercipta dalam arena bola sepak negara selepas Fitri menjadi pengadil pertama dipecat daripada semua tugasan oleh badan induk itu.

Perkembangan itu disahkan Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram selepas pengadil itu menunjukkan prestasi yang lemah pada perlawanan Piala MFL antara Negeri Sembilan FC menentang Selangor FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Khamis lalu.

Dalam perkembangan sama, Subkhiddin juga melihat ‘hukuman’ yang dikenakan kepada Fitri itu akan turut memberi tempias kepada pengadil lain untuk bertugas selepas bakal menimbulkan perasaan kurang selesa setiap kali mengendalikan perlawanan selepas ini.

“Pengadil ini berjiwa besar kerana seronok apabila jadi pengadil, ia takkan berhenti dengan sendiri. Cuma ini akan timbulkan perasaan kurang selesa apabila bertugas di bawah tekanan.

sumber:- HM

“Kalau kendalikan perlawanan di bawah tekanan, lebih banyak kesilapan akan berlaku tetapi kalau kita tenang, kita boleh elakkan kesilapan,” katanya.