Jurang usia terlalu besar dengan barisan pemain muda yang disenaraikan dalam skuad Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2025 tidak menjadi penghalang buat Goh Soon Huat-Shevon Lai untuk pantas mencari keserasian.
Soon Huat-Shevon muncul satu-satunya pemain profesional yang dipanggil menyertai kem negara ke Qingdao, China minggu depan dengan selebihnya adalah pemain daripada skuad kebangsaan.
Beregu campuran keempat dunia itu dijadual menyertai kem latihan pusat di Akademi Badminton Malaysia (ABM) bermula esok dan bagi mereka, tempoh beberapa hari yang ada bakal digunakan untuk mencari keserasian bersama pemain muda.
“Kami memang sentiasa bersiap sedia untuk bermain walaupun baru tamat kejohanan dan sambutan Tahun Baru Cina. Sekarang, kami sudah kembali berlatih untuk BAMTC. Rasa berbangga dapat mewakili negara sekali lagi.
“Saya fikir, pengalaman terutama daripada sudut semangat berpasukan yang kami miliki sebelum ini dapat membantu pemain muda. Ini kali pertama dengan pemain yang jurangnya terlalu besar… kami pun tidak begitu biasa dengan latihan mereka ataupun corak mereka.
“Jadi kami perlukan sedikit masa namun kalau ada apa-apa masalah, kami harap dapat membantu pasukan menjadi lebih stabil,” kata Shevon selepas sesi latihan di Bukit Jalil, hari ini.
Kali terakhir Soon Huat-Shevon menyertai kejohanan berpasukan adalah di Piala Sudirman pada 2023 dan bagi mereka, semangat berpasukan menjadi faktor utama.
“Jadi untuk tempoh yang ada, kita nak bina hubungan dengan jurulatih dan juga pemain. Cuba berkomunikasi dengan mereka, mengenali antara satu sama lain dengan lebih dan lihat cara kerja pasukan.
sumber:- BH
“Itu membantu kami di Piala Sudirman sebelum ini… harap tiga hari ini (kem latihan pusat) kami dapat meluangkan masa bersama pasukan dan mengenali antara satu sama lain,” kata Shevon.