Sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besar termasuk aspek permainan dan taktikal bakal menjadi tumpuan pengendali skuad Harimau Malaya, Peter Cklamovski dalam misinya membina sebuah pasukan terkuat di rantau ini.
Perkara berkenaan mungkin jarang bagi sesetengah jurulatih yang lebih menumpukan kepada aspek permainan di dalam padang sahaja, namun tidak buat Cklamovski.
Baginya, beliau bukan saja mahu membina sebuah pasukan yang kuat membabitkan 11 pemain semata-mata, tetapi lebih daripada itu dengan membina kekuatan setiap pemain secara individu.
“Jika anda cukup baik, anda sudah cukup matang. Saya hanya melihat pemain secara individu. Cita-cita saya adalah untuk mendapatkan setiap pemain bertambah baik.
“Kami boleh meningkatkan setiap pemain secara individu, ini akan menyambung kepada pasukan yang lebih kuat.
“Sekali lagi, cita-cita adalah untuk peningkatan yang lebih baik setiap hari. Kita takkan biarkan semua perkara tidak terusik tanpa ada perubahan,” katanya yang dilantik menggantikan Pau Marti Vicente bermula 1 Januari lalu.
Untuk rekod, tugasan pertama jurulatih dari Australia itu adalah mengharungi kempen Kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac ini apabila Malaysia diletakkan dalam Kumpulan F bersama Laos, Nepal dan Vietnam.
Sasaran jelas yang diletakkan di bahu Cklamovski adalah layak ke Piala Asia 2027 yang dijadual berlangsung di Arab Saudi.
sumber:- HM
Bagi memastikan sasaran itu dipenuhi, pasukan negara wajib menjuarai kumpulan untuk meraih tiket automatik berbanding pada edisi lalu di Qatar yang lebih mudah, apabila skuad Harimau Malaya muncul lima naib juara kumpulan terbaik.