Aston Villa menandatangani Marcus Rashford secara pinjaman dari Manchester United sehingga penghujung musim ini, sekali gus menamatkan tempoh dirinya dipinggirkan di bawah kendalian Ruben Amorim di Old Trafford.
Dianggap sebagai wira oleh penyokong United, Rashford tidak lagi beraksi untuk kelab zaman kanak-kanaknya sejak 12 Disember lalu dan sebelum ini mengakui sudah bersedia mengharungi cabaran baharu.
Penyerang berusia 27 tahun itu sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke AC Milan dan Barcelona, namun kelab-kelab gergasi Eropah itu menarik diri disebabkan gaji mingguannya yang dilaporkan mencecah £300,000 (RM1.65 juta).
Menurut Sky Sports, Villa akan membayar sekurang-kurangnya 75 peratus daripada gaji Rashford sepanjang tempoh pinjaman, yang boleh meningkat sehingga 90 peratus bergantung kepada prestasinya.
Mereka juga mempunyai pilihan untuk menjadikan perpindahan itu kekal pada penghujung musim dengan bayaran £40 juta (RM221.1 juta).
“Saya bertuah kerana menerima tawaran daripada beberapa kelab, tetapi Aston Villa adalah pilihan yang mudah. Saya benar-benar mengagumi cara mereka bermain musim ini, serta aspirasi pengurusnya.
“Saya hanya mahu bermain bola sepak dan sangat teruja untuk memulakan pengalaman baharu ini. Saya juga mendoakan yang terbaik kepada semua di Manchester United untuk baki musim ini,” kata Rashford dalam satu kenyataan.
Villa mengambil langkah untuk memperkuatkan barisan serangan mereka selepas menjual penyerang Colombia, Jhon Duran, kepada kelab Liga Pro Saudi, Al Nassr dengan nilai perpindahan yang dilaporkan sekitar £64 juta (RM353.8 juta).
Skuad kendalian Unai Emery melayakkan diri ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara dan masih mempunyai harapan untuk kembali ke kejohanan itu musim depan.
sumber:- HM
Villa kini berada di tangga kelapan Liga Perdana Inggeris (EPL), lapan mata di hadapan United yang menghuni tangga ke-13.