Pemain perseorangan wanita negara, K Letshanaa jelas membara dalam usaha membuktikan potensi sebenarnya kepada Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky.
Pemain ranking ke-59 dunia itu mara ke undian utama Masters Indonesia selepas mengatasi pemain Denmark, Amalie Schulz 21-14, 21-16 pada aksi pusingan kelayakan di Istora Senayan, Jakarta, semalam.
Ini adalah penampilan ketujuh Letshanaa dalam kejohanan Super 500 dengan pencapaian terbaiknya sebelum ini dua kali mara ke pusingan kedua di Terbuka Korea dan Terbuka Australia 2023.
Meskipun pernah mencipta kejayaan di kejohanan bertaraf lebih rendah, termasuk mara ke final Super 100 Indonesia dan separuh akhir Cabaran Antarabangsa Indonesia, Letshanaa masih bergelut untuk menyerlah di peringkat lebih tinggi.
Situasi itu mengundang kritikan daripada Rexy yang sebelum ini mendedahkan Letshanaa suka merungut dan memberi alasan yang menjadi antara faktor dia gagal menyerlah.
Letshanaa akan berdepan pemain ranking ke-51 dunia, Polina Buhrova dari Ukraine pada aksi pusingan pertama, esok.
Sementara itu, beregu wanita profesional negara, Lai Pei Jing-Lim Chiew Sin turut melangkah ke undian utama selepas menyingkirkan pasangan Taiwan, Chiu Pin Chian-Tung Chou Tong, 21-12, 21-19.
Menanti mereka di pusingan pertama adalah gandingan Poland, Paulina Hankiewicz-Kornelia Marczak.
Bagaimanapun, juara remaja dunia, Aaron Tai-Kang Khai Xing, tersingkir awal selepas tewas kepada pasangan Indonesia, Raymond Indra-Patra Harapan, dalam pertarungan sengit 21-19, 19-21, 21-19.
sumber:- BH
Pasangan profesional negara, Lim Tze Jian-Wong Tien Ci, berjaya mencatat kemenangan selesa 21-15, 21-16 ke atas pasangan Thailand, Chaloempon Charoenkitamorn-Worrapol Thongsanga, untuk memastikan slot ke pusingan utama.