sukan

Tawaran’mega’ buat Sze Fei-Izzuddin

Lonjakan prestasi ditunjukkan beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani meletakkan mereka sebagai calon berpotensi bagi membantu Malaysia menamatkan penantian memenangi pingat emas pertama di Los Angeles 2028.

Justeru, bagi memastikan pasangan nombor dua dunia itu terus tampil dengan prestasi konsisten di pentas antarabangsa, Jawatankuasa Road to Gold (RTG) menawarkan tempat untuk mereka berada dalam program berkenaan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan kedua-dua pemain berkenaan bagi membincangkan mengenai bentuk sokongan atau bantuan yang diperlukan mereka.

“Prestasi mereka melonjak dengan sangat cepat. Mereka kini sudah menjadi beregu lelaki nombor dua dunia dan hasrat kita untuk memenangi pingat emas di Olimpik Los Angeles 2028 semakin hampir kalau mereka teruskan pencapaian nombor satu atau dua ini.

“Senarai penuh pemain yang akan dipilih untuk berada dalam program ini masih belum diputuskan lagi dan kita akan umum bila sudah bersedia. Namun, dengan kedudukan Sze Fei-Izzuddin yang berada di ranking nombor dua dunia, sudah tentu mereka layak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Liga Super Bola Jaring (NSL) 2025 di sini, hari ini.Kelmarin, Sze Fei-Izzuddin terus mempamerkan taring mereka apabila muncul juara Terbuka India di New Delhi.

Ia adalah gelaran keempat buat mereka dalam tempoh lima bulan selepas turut menjuarai Terbuka Jepun, Terbuka China dan Terbuka Artik.

Pasangan itu turut muncul naib juara Jelajah Duni Akhir BWF di Hangzhou, China bulan lalu.

Ketika awal RTG diperkenalkan pada Mac 2023, tiga pasangan profesional disenaraikan iaitu beregu lelaki, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan dua beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing tetapi mereka tidak berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

sumber:- BH

RTG adalah sebuah program yang diwujudkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menyelaras usaha membantu atlet negara yang berpotensi bagi memenangi pingat emas buat Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024 dan Los Angeles 2028.