Tenang dan sabar mengutip mata demi mata menjadi kunci utama kejayaan beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani bergelar juara Terbuka India di New Delhi, petang tadi.
Aksi konsisten yang dipamerkan beregu ranking kedua dunia itu jelas sukar digugat pasangan dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae apabila menang 21-15, 13-21, 21-16 dalam tempoh 53 minit.
Sze Fei berkata, dia dan pasangannya cuba mengekalkan aksi konsisten walaupun tewas pada set kedua di tangan beregu Korea Selatan itu.
“Saya gembira dapat bangkit daripada tewas pada pusingan awal Terbuka Malaysia minggu lalu. Pujian harus diberikan kepada pasangan saya dan jurulatih.
“Lihat pada perlawanan hari ini, kami kurang melakukan kesilapan mudah dan paling penting adalah tenang dan sabar,” kata Sze Fei ketika ditemubual Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Kemenangan itu membolehkan pasangan yang digelar FeiDin yang muncul juara Terbuka China, Terbuka Jepun dan Terbuka Artik tahun lalu, membawa pulang AS$70,300 (kira-kira RM316,700).
sumber:- BH
Kali terakhir beregu lelaki negara muncul juara pada Terbuka India adalah pada tahun 2010 yang dimenangi oleh Zakry Latif-Fairuzizuan Tazari.