sukan

JDT ‘sentap’ angan-angan TFC

Terengganu FC (TFC) menempah laluan berliku untuk mengintai peluang ke final Piala Malaysia selepas tumpas 0-4 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) malam tadi.

Kemenangan besar pasukan pelawat itu menyaksikan skuad kendalian Hector Bidoglio bagaikan sebelah kaki untuk mara ke pentas final pada musim ini.

Pada perlawanan itu, juara bertahan terlebih dahulu menguji kubu tuan rumah menerusi percubaan Bergson Da Silva pada minit kedua, namun digagalkan penjaga gol, Rahadiazli Rahalim.

TFC yang menurunkan sayap lincah, Akhyar Rashid yang baharu mendapat ‘lesen’ bermain kelmarin mendapat peluang pertama pada minit ke-8 menerusi rembatan Nurillo Tukhtasinov yang mudah ditangkap kemas penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi.

Aksi berintensiti tinggi dan corak permainan menyerang yang diperagakan kedua-dua pasukan ternyata menghiburkan lebih 11,000 peminat setia yang hadir.

Bagaimanapun skuad Harimau Selatan itu terlebih dahulu menemui sentuhan jaringan menerusi tolakan mudah pemain naturalisasi, Romel Morales pada minit ke-17 hasil kelam kabut dalam kotak penalti untuk JDT memimpin perlawanan 1-0.

Ketinggalan satu gol menyaksikan skuad kendalian Badrul Afzan Razali meningkatkan lagi kualiti serangan, tapi dua peluang menerusi Tukhtasinov pada minit ke-25 dan Ismaheel Akinade seminit kemudian gagal menemui jaringan.

Sebaliknya pelawat mendapat gol kedua pada minit ke-35 sekali lagi menerusi sentuhan Morales, namun hasil video bantuan pengadil (VAR), pengadil perlawanan, Fitri Maskon membatalkan jaringan itu selepas kapten TFC, Manuel Ott dikesan terlebih dahulu dikasari.

Bersambung babak kedua, pelawat dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-55 selepas pengadil mendakwa Arif Aiman Hanapi dijatuhkan pertahanan, Muhammad Alif Zakaria, bagaimanapun VAR sekali lagi menafikan situasi itu sekali gus terselamat pintu gol tuan rumah.

Enam minit berselang, Ott perlu menyalahkan diri sendiri apabila peluang terhidang untuk menyamakan kedudukan hasil hantaran lintang Nelson Bonilla gagal dimanfaatkan dengan jaringan selepas pemain import Filipina itu merembat tinggi melepasi palang gol.

Usaha berterusan pelawat untuk menambah jaringan akhirnya menjelma pada minit ke-78 selepas pemain lincah, Arif Aiman mudah memperdaya pertahanan sebelum melakukan rembatan kencang dalam kotak penalti untuk pasukannya mendahului 2-0.

Arif Aiman sekali lagi membuktikan sentuhan berbisanya selepas meledak gol ketiga pasukannya yang juga jaringan kedua peribadinya pada minit ke-84 untuk mengukuhkan kedudukan 3-0.

Ketika perlawanan berbaki dua minit untuk ditamatkan, Bergson menutup saki baki perjuangan tuan rumah selepas menyumbat gol keempat pasukannya.

sumber:- HM

Kedudukan 4-0 itu kekal hingga tamat perlawanan sebelum kedua-dua pasukan bakal bertembung sekali lagi pada aksi separuh akhir kedua pada 1 Februari depan di Stadium Sultan Ibrahim.