Pemain bek kiri Johor Darul Ta’zim (JDT), Corbin Ong mengakui aksi menentang Terengganu FC (TFC) tampak mencabar namun optimis mampu membawa pulang bekalan selesa tatkala bertandang ke Stadium Sultan Mizan, Gong Badak bagi pertembungan separuh akhir pertama Piala Malaysia, Jumaat.
Malah pemain kebangsaan itu optimis persiapan yang jitu bakal dibentuk ketua jurulatih, Hector Bidoglio bagi menghadapi skuad kendalian Badrul Afzan Razali yang pasti akan tampil dengan corak permainan agresif pada perlawanan itu nanti.
“Setiap kali JDT menentang Terengganu FC ia pasti menampilkan perlawanan berintensiti tinggi dan mereka dibarisi pemain yang mantap dengan kombinasi pemain senior dan muda malah mereka mahu membuktikan kredibiliti apabila beraksi di tempat sendiri.
“Bagaimanapun, kami tidak akan beri laluan mudah buat mereka, sebaliknya kami akan membuat persiapan rapi kerana kami juga mahu buru kemenangan untuk membawa pulang bekalan yang selesa.
“Agak menarik kerana kami akan bertemu Terengganu dalam tiga perlawanan berturut-turut dengan aksi Piala Malaysia pada Jumaat ini disusuli aksi Liga Super pada 25 Januari ini dan kemudiannya aksi kedua separuh akhir 1 Februari depan,” katanya.
Untuk rekod dalam aksi final piala berprestij musim lalu, skuad Harimau Selatan yang dibimbing Esteban Solari berjaya menewaskan Terengganu FC 3-1 yang ketika itu dibimbing Tomislav Steinbruckner pada aksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
sumber:- HM
Corbin juga menganggap pertemuan menentang skuad Penyu ibarat ulangan final pada musim lalu malah akan beri persembahan terbaik seandainya diturunkan beraksi dalam kesebelasan utama pada perlawanan itu.