Penyokong Terengganu FC (TFC) terpaksa melupakan hasrat untuk melihat penampilan pertama penyerang import, Ivan Mamut musim ini pada Jumaat ini.
Ia berikutan penyerang berkenaan tidak dapat diturunkan berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) itu.
Ketua jurulatih TFC, Badrul Afzan Razali mengesahkan pemain kelahiran Croatia itu tidak dapat disenaraikan dalam kesebelasan utama pasukan kerana perlu menjalani rawatan pemulihan oleh pasukan perubatan TFC.
Badrul Afzan mengakui memahami kerinduan serta keghairahan peminat bola sepak yang ingin menyaksikan penampilan semula Mamut di atas padang selepas berehat panjang hampir setahun akibat kecederaan di kaki kiri tahun lalu.
“Beliau sudah kembali ke Terengganu Rabu lalu, namun masih belum menyertai latihan dan berada dalam tempoh pemulihan akibat kecederaan.
“Saya minta penyokong mendoakan agar Mamut cepat sembuh dan dapat membantu pasukan pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia dan baki Liga Super,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Bagaimanapun, Badrul Afzan yang juga bekas pemain tengah Terengganu berkata, ketiadaan Mamut tidak menjejaskan persiapan kerana TFC masih mempunyai dua tonggak import iaitu Ismaheel Akinade dan Nelson Bonilla serta pemain tempatan berkualiti di posisi serangan.
“Safawi (Rasid) dan Akhyar (Rashid) juga tidak dapat beraksi kerana terikat dengan perjanjian bersama kelab JDT.
“Tetapi, kita tidak berputus asa dan pasukan sedang membuat persiapan rapi untuk menghadapi tentangan pasukan nombor satu negara,” katanya.
sumber:- HM
Musim lalu, Mamut yang digelar ‘mesin gol’ oleh penyokong pasukan hitam putih mencatat rekod cemerlang apabila meledak 23 gol dalam 35 penampilan bersama skuad Penyu.