sukan

Ranking Dunia : Izzuddin-Sze Fei rampas kedudukan beregu utama China

Beregu profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani kini terus mengukuhkan kedudukan mereka di persada dunia apabila bergelar beregu kedua terbaik dunia.

Naib juara Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 itu memperbaharui ranking mereka dari kedudukan ketiga ke kedudukan kedua sekali gus merampas kedudukan daripada beregu utama China, Liang Wei Keng-Wang Chang.

Ia adalah kedudukan ranking terbaharu yang dikemaskini selepas kejohanan pembuka tirai musim 2025, Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil tamat Ahad lalu.

Pencapaian ini juga menyaksikan Sze Fei-Nur Izzuddin menyamai rekod ranking tertinggi yang dicapai oleh Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada 24 Januari 2023.

Perkhabaran itu sekurang-kurangnya mengubati kekecewaan gagal di Terbuka Malaysia selepas tewas di pusingan pertama kepada wakil Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard 15-21, 21-9, 21-18.

Perkembangan itu jelas bakal menjadi pemangkin semangat buat Sze Fei-Izzuddin dalam usaha untuk bangkit di Terbuka India yang bermula hari ini.

Terdahulu Sze Fei-Izzuddin bermula dengan langkah kanan apabila meraih kemenangan mengatasi rakan senegara, Arruyn Ayub-Tan Wee Kiong 21-16, 21-16 dalam tempoh 41 minit.

Menanti mereka di pusingan kedua sama ada satu lagi pasangan negara Arif Junaidi-Yap Roy King ataupun beregu dari Jerman Daniel Hess-Marvin Seidel.

Dalam perkembangan yang sama, turut menyaksikan kedudukan beregu Aaron-Wooi Yik meningkat satu anak tangga dari ranking keenam ke kelima dunia.

Manakala kemaraan ke separuh akhir Terbuka Malaysia melonjakkan kedudukan dua beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie.

Tang Jie-Ee Wei kini bergelar beregu ketiga terbaik dunia manakala pasangan suami isteri, Soon Huat-Shevon mendaki dua anak tangga ke kedudukan keempat berbanding keenam dunia.

Begitupun kedudukan ranking pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menjunam dari ranking keenam ke ranking kelapan selepas tidak beraksi di Terbuka Malaysia dengan dia turut tidak beraksi di Terbuka India dan Masters Indonesia.

sumber:- HM

Turut mengalami kejatuhan ranking adalah Pearly Tan-M Thinaah yang jatuh satu anak tangga ke kedudukan tujuh dunia.