Orang lama dalam skuad Harimau Malaya tidak mahu terlalu awal mengangkat bendera putih dengan mereka bersedia ‘berperang’ bagi memastikan tempat dalam pasukan kebangsaan terjamin.
Walaupun mendapat perkhabaran sekurang-kurang enam atau tujuh pemain warisan baru berpengkalan di luar negara bakal dibawa masuk ke dalam skuad kebangsaan, namun situasi terbabit bukanlah menutup terus pintu kepada pemain Liga Malaysia (Liga M) menyarung jersi pasukan Harimau Malaya.
Bagi pemain sayap Harimau Malaya, Safawi Rasid, dia melihat sudah tiba masanya barisan pemain Liga M keluar daripada zon selesa dengan sentiasa bersaing mempamerkan aksi terbaik untuk merebut peluang berada dalam pasukan kebangsaan.
Safawi yang juga tonggak Terengganu FC berkata, persaingan sengit itu mendorong pemain mempertingkatkan kualiti permainan demi memastikan kelibat mereka dipandang jurulatih Harimau Malaya Peter Cklamovski.
“Bagi saya kehadiran pemain warisan baru adalah satu cabaran buat pemain tempatan untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan.
“Apa jua keputusan terserah kepada jurulatih untuk memilih dan bagi kita adalah beraksi sebaik mungkin dalam liga. Jika ada peluang mungkin akan dipanggil.
“Pada saya, semuanya sama saja cuma sebagai pemain perlu jaringkan lebih banyak gol dan pamerkan aksi terbaik,” katanya.
Sementara itu, tonggak Kuala Lumpur City (KL City) Brendan Gan pula tidak cepat melatah apabila tempat dalam skuad Harimau Malaya dilihat bertambah sengit dengan hanya terbaik dapat mewakili negara.
“Dan saya percaya itu sangat penting untuk mempunyai penanda aras apa yang kita mahu capai. Saya fikir kumpulan pemain ini akan beraksi dengan baik bersama pengurusan dan staf kejurulatihan baru,” katanya.
Sebelum itu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mendedahkan bahawa pasukan negara bakal diperkuatkan sekurang-kurangnya enam atau tujuh pemain warisan gred A.
Jika semula berjalan lancar maka, skuad kendalian Peter Cklamovski bakal tampil selaku pasukan ‘terkuat’ dalam saingan Kelayakan Piala Asia 2027 apabila akan diperkuatkan dengan pemain warisan pada kejohanan itu nanti.
Justeru, Tunku Mahkota Ismail memohon kerjasama daripada kerajaan Malaysia bagi membantu memudahkan urusan beberapa pemain itu untuk mendapatkan pasport negara ini.
aumber:- HM
Berdasarkan kepada situasi terkini, setakat ini tiada perkhabaran mengenai enam atau tujuh identiti pemain kacukan berkenaan yang bakal menyarung jersi skuad Harimau Malaya kelak.