Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun menyifatkan kegagalan mereka untuk memberikan hadiah perpisahan terbaik buat ketua jurulatih, Tan Bin Shen sebagai mengecewakan.
Menjadi wakil terakhir negara beraksi di pentas separuh akhir Terbuka Malaysia, hari ini, Kai Wun menyifatkan Bin Shen sebagai individu yang membentuk mereka sejak awal sehingga menjadi antara beregu terbaik dunia ketika ini.
Berpeluang untuk mencipta sejarah mara ke final, pasangan ke-14 dunia itu begitupun dikecewakan oleh pasangan China, Chen Bo Yang-Liu Yi dalam perlawanan tiga set 24-26, 21-16, 21-15 yang berlangsung selama 76 minit.
Bin Shen akan menamatkan tugasannya Isnin ini selepas menerima tawaran menyertai skuad kebangsaan Hong Kong dengan tempatnya akan diisi pengendali dari Indonesia, Herry Iman Pierngadi.
“Beliau banyak membantu kami sejak mula hingga kini. Banyak yang kami belajar daripada beliau tidak kira dalam atau luar gelanggang,” kata Kai Wun selepas perlawanan di Axiata Arena itu.
“Sekalipun tidak lagi bersama beliau, kami berharap untuk terus dapat bermain dengan lebih baik selepas ini.”
Mengulas perlawanan menentang beregu Bo Yang-Liu Yi yang juga pasangan ranking 18 dunia, Wei Chong mengakui mereka terjerat dengan corak permainan lawan terutama pada set kedua namun menganggapnya sebagai satu pengajaran berguna.
sumber:- BH
“Apapun, kami boleh katakan yang kemaraan ini (separuh akhir) sebagai permulaan yang baik tetapi kami juga tidak mahu fikir terlalu jauh. Apa yang diperlukan ketika ini adalah memperbaiki kembali pemainan untuk kejohanan berikutnya,” katanya.