sukan

“Mungkin ada yang akan ketawa ambil pemain daripada Liga Super Malaysia ” — Penyokong Ranger

Pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi terus mendapat perhatian bola sepak dunia dan kali ini, giliran laman penyokong iaitu Rangers Journal terpukau dengan kemampuan pemain sayap Harimau Malaya itu.

Menerusi akaun yang berpangkalan di Scotland itu, mereka merumuskan pemain berusia 22 tahun berkenaan memiliki pakej menyerang yang lengkap.

Malah, berdasarkan statistik untuk menekan pemain lawan dalam kawasan sendiri dan memenangi bola, pemain itu jauh lebih baik berbanding tiga pemain sayap Rangers iaitu Vaclav Cerny, Nedim Bajrami dan Ross McCausland.

“Arif Aiman adalah pemain sayap lincah yang memiliki kepantasan, pecutan, kemahiran dan gerakan tanpa bola yang baik. Bukan sahaja dapat menyerang pertahanan tetapi turut memiliki penyudah yang klinikal sama ada untuk menjaringkan gol ataupun membantu gerakan gol.

“Arif Aiman ada teknik yang hebat dalam melakukan rembatan dibantu dengan ketenangan dan ketepatan apabila menyempurnakan peluang di hadapan gol. Dia mampu menyudahkan apa sahaja peluang sama ada menerusi percubaan jarak jauh, menggelecek pertahanan ataupun dalam situasi satu lawan satu.

“Dia sememangnya ancaman besar dalam kawasan lawan dan membuatkan pertahanan gerun dengan gerakannya. Berlari daripada ke belakang menjadi antara kualitinya dan dia banyak memperbaiki kualiti bola akhirnya sekali gus menjadikan dia memiliki pakej menyerang yang lengkap,” kata akaun terbabit.

Justeru, laman terbabit menganggap pasukan luar wajar mengambil risiko untuk mendapatkan pemain sayap itu meskipun Arif Aiman berasal dari negara yang bukanlah kuasa besar bola sepak dunia.

“Mungkin ada yang akan ketawa dengan tanggapan mengenai menandatangani pemain daripada Liga Super Malaysia tetapi ada bakat di luar sana daripada liga yang terpencil dan Arif Aiman adalah salah satu daripadanya.

“Dia bukan hanya menyerlah dalam liga domestik tetapi dia sudah membuktikan kemampuannya dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE). Dia menjadi bertambah baik dari tahun ke tahun dan kualiti permainannya semakin meningkat ke tahap seterusnya.

sumber:- BH

“Persoalannya adalah sama ada dia mampu meneruskan momentum dalam bola sepak Eropah. Mungkin ini satu keputusan yang mudah dengan risiko rendah tetapi peluang yang memberikan ganjaran tertinggi selain pendapatan komersial yang boleh dijana menerusi kehadiran salah satu bakat terkemuka Asia,” katanya.