Beregu profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mengakui sudah melakukan yang terbaik, namun nasib tidak menyebelahi mereka apabila tewas di pusingan pertama Terbuka Malaysia, hari ini.
Juara Terbuka China yang berada di ranking ketiga dunia itu tewas kepada wakil Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard 15-21, 21-9, 18-21 selepas beraksi selama 52 minit di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Sze Fei mengakui pergerakan tidak lancar ketika di dalam gelanggang semasa perlawanan sehingga mendorong kepada keputusan tidak diinginkan itu.
“Kami tidak boleh nak kawal keadaan dan apa yang boleh kami buat hanyalah memberikan yang terbaik.”Kami sudah beri yang terbaik tapi masalahnya adalah lawan lebih baik,” katanya.
Ia adalah kekalahan pertama Izzuddin-Sze Fei di tangan gandingan Denmark itu selepas menang ketika pertemuan pertama mereka di separuh akhir Masters Abu Dhabi pada 2023.
Tahun 2024 menyaksikan kebangkitan luar biasa Izzuddin-Sze Fei yang dikenali DinFei rentetan kejayaan demi kejayaan dilakarkan bermula di Terbuka Jepun, Terbuka China dan Terbuka Artik di Finland.
Mereka menutup musim 2024 apabila muncul naib juara Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China bulan lalu.
sumber:- HM
Pencapaian cemerlang Izzuddin-Sze Fei menyaksikan mereka merampas kedudukan Aaron Chia-Soh Wooi Yik selaku beregu lelaki nombor satu negara apabila menghuni ranking nombor tiga dunia.