sukan

Padang tiruan Singapura halangan besar buat KL City

Padang tiruan di Stadium Jalan Besar bakal menjadi ujian terbesar buat Kuala Lumpur City FC (KL City) apabila bertandang ke Singapura menentang Lion City Sailors dalam aksi ketiga Kumpulan B Kejuaraan Kelab Asean, Khamis ini.

Perkara itu diakui ketua pasukan KL City, Paulo Josue yang menyatakan bukan mudah bermain di atas rumput tiruan terutama dalam membaca pergerakan dan lantunan bola yang berbeza berbanding rumput biasa.

Untuk itu, katanya, KL City terpaksa berlatih menggunakan padang tiruan yang ada di sekitar Lembah Klang sejak minggu lalu.

“Tak sama bermain di atas padang tiruan dan normal. Lantunan bola agak berbeza dan sukar, malah ia lebih rumit jika tidak biasa bermain di atas padang tiruan.

“Jadi minggu lalu kita mengadakan latihan di atas rumput tiruan bagi membolehkan pemain menyesuaikan diri lebih awal.

“Kelebihan sudah tentunya milik tuan rumah, tetapi kami berusaha untuk melakukan yang terbaik dalam perlawanan itu.

“Kami mahu mencari kemenangan biarpun terpaksa bermain atas rumput tiruan itu,” katanya kepada Arena Metro.

Ketika ini, skuad The City Boys berkongsi enam mata bersama kelab Vietnam, Cong An Hanoi FC, namun dibezakan jumlah jaringan untuk meletakkan wakil Malaysia itu di tangga kedua.

“Kita mahukan tiga mata di Singapura bagi mengumpul sembilan mata maksimum kerana selepas ini kita akan menentang pasukan lebih kuat seperti Cong An Hanoi dan Buriram United (Thailand).

“Jadi kami tidak mahu keciciran mata apabila menentang Lion City Sailors nanti,” kata pemain naturalisasi skuad Harimau Malaya itu.

sumber:- HM

Josue berharap pihak pengurusan pasukan dapat bersama-sama pemain bagi meningkatkan motivasi sebelum aksi itu.