Kelibat ketua jurulatih perseorangan negara, Kenneth Jonassen diakui Leong Jun Hao melonjakkan motivasinya untuk memberikan persembahan terbaik di Terbuka Malaysia bermula esok.
Sekalipun akur tiada apa yang akan berubah khususnya daripada sudut corak pemainan mahupun taktikal, pemain ranking 29 dunia itu berkata dia teruja untuk memberikan persembahan terbaik bagi membuktikan kemampuannya kepada jurulatih kelahiran Denmark itu.
“Tak banyak yang berubah (kehadiran Jonassen) dan saya akan kekal bermain seperti biasa dan lakukan perkara yang sama. Tetapi kehadiran Jonassen di belakang memang beri saya tambahan motivasi.
“Ia adalah perkara yang baharu bagi saya (Jonassen sebagai jurulatih) dan saya berharap untuk melakukan yang terbaik untuk dibuktikan kepadanya dan meningkatkan lagi tahap permainan saya,” katanya.
Jun Hao dalam pada itu mengakui tekanannya meningkat apabila menjadi wakil tunggal negara dalam acara perseorangan lelaki susulan penarikan diri pemain profesional, Lee Zii Jia akibat kecederaan.
“Memang ada tekanan kerana saya seorang saja bermain dalam acara perseorangan lelaki kali ini.
sumber:- BH
“Tetapi saya akan bermain seperti biasa kerana tekanan memang ada di mana-mana (kejohanan) dan ia lebih tinggi apabila beraksi di laman sendiri. Jadi saya ada melakukan perbincangan dengan jurulatih untuk kurangkan tekanan ini,” katanya.