Pemain beregu campuran negara, Hoo Pang Ron menjelaskan yang tanggungjawab sebagai ‘pemimpin’ di gelanggang tidak dipikulnya berseorangan sebaliknya turut dikongsi rakan sepasukan, Cheng Su Yin.
Malah pemain berusia 26 tahun itu berkata sekali pun Su Yin lima tahun lebih muda darinya dan akan membuat penampilan sulung di Terbuka Malaysia bermula Selasa ini, ia tidak bermakna gandingannya itu tidak berupaya menggalas tugas berat berkenaan.
Tidak seperti Su Yin, penampilan Pang Ron di Terbuka Malaysia kali ini adalah yang ketiga buatnya namun bersama pasangan berbeza iaitu Teoh Mei Xing pada 2024 dan Toh Ee Wei (2022).
“Sebagai satu pasangan saya rasa apabila kami berada di dalam gelanggang, tidak semestinya tugas memimpin hanya diberikan kepada saya,” kata Pang Ron ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
“Apabila saya tidak bermain dengan begitu bagus, Su Yin akan turut membimbing saya dan beri saya keyakinan kerana sebagai pasangan kami perlu saling menyokong satu sama lain.”
Di Terbuka Malaysia, Pang Ron-Su Yin diundi bertemu pasangan Taiwan, Lu Ming Che-Hung En-Tzu di pusingan pertama dan menariknya, berpotensi bertemu Tang Jie-Ee Wei di pusingan kedua jika kedua-duanya berjaya mengatasi lawan masing-masing.
Mengulas kemungkinan itu, Su Yin berkata dia bersedia untuk menghadapi mana-mana lawan.
sumber:- BH
“Ini bukan soal mudah atau sukar, tetapi bagi saya bertemu rakan senegara lebih mencabar kerana kami sudah mengetahui corak permainan masing-masing memandangkan sering berlatih bersama. Tetapi kami akan berusaha sebaik mungkin,” katanya.