sukan

TERKINI : Keputusan aksi Final Vietnam berdepan Thailand

Vietnam meraih bekalan tipis selepas menewaskan juara bertahan, Thailand 2-1 dalam aksi final pertama Piala ASEAN 2024 di Stadium Viet Tri, sebentar tadi.

Ketumpulan dalam melakukan penyudah menyaksikan skuad Naga Emas dan Gajah Perang menutup babak pertama tanpa jaringan meskipun kedua-dua pasukan memiliki beberapa peluang.

Babak kedua berlangsung lebih rancak dengan banyak percubaan tepat dilakukan terutama menerusi sepakan voli pemain gantian Vietnam, Nguyen Quang Hai pada minit ke-58 yang ditepis penjaga gol Thailand, Patiwat Khammai.

Hanya kira-kira seminit selepas itu, Khammai akhirnya tertewas juga apabila penyerang naturalisasi Vietnam, Nguyen Xuan Son melompat tinggi untuk menanduk masuk bola hantaran Vu Van Thanh.

Xuan Son terus membuktikan kehebatannya apabila meledak gol kedua pada minit ke-72 selepas memperdaya pertahanan Thailand sebelum merembat kencang untuk sekali lagi menewaskan Khammai.

Jaringan itu menjadi gol ketujuh yang diledak Xuan Son dalam empat perlawanan dan mengukuhkan kedudukannya di tangga teratas carta penjaring terbanyak Piala ASEAN 2024.

Thailand bagaimanapun berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-83 apabila Chalermsak Aukkee menyudahkan umpanan Suphanat Mueanta.

sumber:- BH

Juara Piala ASEAN 2024 akan ditentukan dalam aksi final kedua yang akan berlangsung di Stadium Rajamangala, Bangkok, Ahad ini.