sukan

Pertembungan final impian Terbuka Malaysia

Pertemuan final impian antara dua beregu negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik berpotensi berlaku di Terbuka Malaysia, minggu depan.

Berdasarkan undian Persekutuan Badminton Dunia (BWF), kedua-dua gandingan itu berada di laluan berbeza dengan Izzuddin-Sze Fei diletakkan dalam balang dua dengan Aaron-Wooi Yik di balang empat sekali gus memungkinkan situasi itu terjadi.

Beregu ranking tiga dunia, Izzuddin-Sze Fei akan memulakan kempen mereka pada kejohanan berstatus Super 1000 BWF itu bertemu pasangan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard seawal pusingan pertama.

Aaron-Wooi Yik yang juga pemenang pingat gangsa Olimpik Paris 2024 dijadual bertemu pasangan Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi-Presley Smith di peringkat 32 terbaik pada aksi di Axiata Arena itu.

Sementara itu, satu lagi beregu negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang menghuni ranking 14 dunia dijadual bertemu pasangan Jepun, Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura di pusingan pertama.

Menariknya jika berjaya melangkah ke suku akhir, mereka turut berpotensi bertemu Izzuddin-Sze Fei.

Cabaran Malaysia dalam acara beregu wanita pula diketuai pasangan ranking enam dunia, Pearly Tan-M Thinaah.

sumber:- BH

Menanti juara Terbuka Hong Kong itu di pusingan pertama adalah gandingan baharu Indonesia, Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Silva Ramadhanti.