sukan

“Mak cakap nak bawa ke kenduri “

“Mak cakap nak bawa ke kenduri, rupa-rupanya bawa saya jumpa Faisal Halim. Ini kenangan saya pada Tahun Baharu 2025.”

Demikian kata-kata remaja mangsa lecur terkena renjatan elektrik, Mohd Dawisy Zarif Mohd Khairi, 13, selepas bertemu dengan pemain bola sepak, Muhammad Faisal Halim atau Faisal Halim di Kejohanan Bola Sepak Permatang Pauh Madani Bawah 12 tahun di Padang Awam Mengkuang Titi, Penanti hari ini.

Mohd Dawisy berkata, sebelum ini dia meluahkan hasrat mahu bertemu dengan Faisal dan tidak menyangka idolanya itu tidak menghampakan harapannya.

Katanya, dia tidak mengetahui pertemuan itu sudah diatur pihak Faisal bersama emaknya, Suhana Samsudin, 38.”Ketika bertemu dengan Faisal, saya jadi gementar dan tidak tahu nak cakap apa kerana tidak menyangka dapat bersua muka serta bersalaman dengannya.

“Faisal berpesan supaya saya tidak berputus asa dan teruskan bermain bola sepak tetapi perlu memastikan keadaan diri benar-benar pulih,” katanya ketika ditemui.

Mohd Dawisy yang mahu mengambil bola di bilik jana kuasa di Jalan Kampung Bukit, dekat Taman Sri Bayu, Bayan Lepas, melecur terkena renjatan elektrik pada November 2023.

Remaja ini kemudian kembali ke sekolah pada Oktober lalu selepas hampir setahun menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan menyatakan hasrat bertemu Faisal.

Menurut Suhana, ketika menerima rawatan di HPP, Mohd Dawisy masih setia mengikuti perkembangan Faisal yang mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali.

Katanya, biarpun dalam keadaan emosi tidak menentu, Mohd Dawisy sering meninggalkan komen positif kepada ikon bola sepak itu di Instagram Faisal.

“Bahagian kulit Mohd Dawisy yang melecur itu kelihatan seperti Faisal dan perlu mengenakan pakaian khas ketika berada di luar rumah.

“Mohd Dawisy pernah beritahu bahawa dia perlu kuat seperti Faisal dan yakin akan kembali semula bermain bola sepak bersama rakan pasukan.

“Baru-baru ini abang kembarnya terpilih dalam pasukan bola sepak sekolah manakala Mohd Dawisy tidak terpilih berikutan keadaannya.

“Dia memang kecewa dan diharap pertemuan dengan Faisal ini dapat kembalikan semangatnya supaya tidak berputus asa.

“Diharap pertemuan ini juga memberi sokongan kepada Faisal bahawa khidmatnya amat diperlukan dalam pembangunan bola sepak terutama kepada bakat baharu,” katanya.

Sementara itu, Faisal berkata dia terharu dengan semangat Mohd Dawisy dan berharap bakat serta kebolehannya dalam sukan itu tidak berhenti susulan kejadian.

“(Keadaan) Saya pun macam Mohd Dawisy jadi dia perlu kuatkan semangat dan jika ada peluang, boleh main (bola sepak) lagi kerana dia mempunyai minat serta bakat.

“Saya juga pernah sedih tetapi ramai yang doakan kita, jadi sama-samalah kita hadapi dan bangkit semula.

“Teruskan minat dan jangan malu walaupun wajah kita dah berubah serta kekuatan sudah tidak sama, tetapi kita perlu teruskan juga,” katanya.

sumber:- BH

Faisal disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Damansara, Selangor pada 5 Mei tahun lalu.