sukan

TERKINI : FAM sah umum perlantikan CEO Harimau Malaya

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan bekas pemain kebangsaan Kanada dan kelab Eintracht Frankfurt, Robert Douglas Friend sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan kebangsaan.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Rob Friend bakal menjadi peneraju utama dalam struktur organisasi baharu bagi revolusi skuad Harimau Malaya.

FAM dalam kenyataan memaklumkan Rob Friend banyak terbabit dalam menerajui penubuhan dan pembangunan strategik kelab.Badan induk itu berkata, ia termasuk pembangunan stadium dan pusat latihan, menyelia semua aspek operasi kelab, pembelian pemain, pelantikan kakitangan kejurulatihan, rundingan penajaan serta pengurusan kewangan yang membawa kepada peningkatan ketara terhadap nilai kelab terbabit.

“Pelbagai pengalaman yang dimiliki beliau ketika sebagai pemain serta dalam bidang pengurusan dan pentadbiran diharap mampu memberikan satu suntikan baharu dalam menguruskan perancangan dan program membabitkan pasukan kebangsaan terutama skuad senior dan B-23 kebangsaan pada tempoh permulaan ini.

“Rob Friend juga akan memastikan struktur organisasi baharu ini akan dilengkapi dengan tenaga kerja yang berkualiti dan berpengalaman dalam pelbagai aspek yang diperlukan demi menyediakan satu pasukan kebangsaan yang mantap.

“Beliau akan memulakan tugasan secara rasmi di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Januari 2025,” kata FAM.

Selain Eintracht Frankfurt, Rob Friend yang beraksi di posisi penyerang pernah bersama Moss FC, Molde FK, Borussia Monchengladbach, Hertha Berlin dan 1860 Munich serta kelab Amerika Syarikat, LA Galaxy pada 2014.

Bersama pasukan kebangsaan Kanada pula, beliau melakukan sebanyak 32 penampilan antarabangsa bermula dari 2003 ketika berusia 22 tahun sehingga 2011 ketika berusia 30 tahun.

Berasal dari Rosetown, Saskatchewan, Kanada, Rob Friend yang bakal berusia 44 tahun pada 23 Januari depan hadir dengan portfolio hebat menerusi pembabitannya dalam bidang pengurusan dan pentadbiran bola sepak selepas beliau bersara sebagai pemain pada Disember 2014.

Rob Friend bermula sebagai rakan kongsi pengurusan di DRG Investment Group, sebuah syarikat pelaburan dan pengurusan hartanah dari 2014 sehingga kini.

Kemudian dari 2017 hingga 2021, Rob Friend menjadi pengasas Toca Football Canada, teknologi latihan khusus bola sepak dan bermula 2019 hingga sekarang, beliau adalah rakan kongsi pengurusan di SixFive Sports Fund iaitu badan pelaburan dalam bola sepak profesional dan infrastruktur melalui pemilikan kelab, stadium dan pembangunan kemudahan latihan.

Antara pembabitan terbesar beliau adalah menjadi salah seorang pengasas bersama liga bola sepak profesional Kanada, Canadian Premier League (CPL) dan berjaya meningkatkan nilai liga itu dari AS$0 sehingga AS$300 juta (kira-kira RM1.3 bilion) dalam tempoh enam tahun.

sumber:- BH

Rob Friend juga pernah menerajui kepimpinan tertinggi pengurusan dan pentadbiran dua kelab yang beraksi di CPL iaitu sebagai CEO dan pengasas bersama Pacific FC dari 2019 hingga 2022 serta sebagai presiden dan pengasas bersama Vancouver FC dari 2022 hingga kini.