Juara tujuh kali, Thailand berdepan detik cemas sebelum menyingkirkan pasukan ranking ke-150 dunia, Filipina dengan agregat 4-3 di pusingan separuh akhir Piala ASEAN 2024.
Keputusan itu membolehkan Thailand mengulangi aksi final edisi 2022 berdepan Vietnam yang terlebih dahulu menempah tiket ke pentas akhir selepas mengatasi Singapura dengan agregat 5-1, semalam.
Skuad Gajah Perang bangkit dari kekalahan mengejut 1-2 kepada Filipina dalam separuh akhir pertama di Stadium Memorial Rizal, Jumaat lalu untuk meraih kemenangan 3-1 pada aksi kedua di Stadium Rajamangala, Bangkok, sebentar tadi.
Malang buat Filipina apabila terus kempunan untuk berada di pentas akhir kejohanan ‘Piala Dunia’ Asia Tenggara itu buat kali pertama meskipun menamatkan kemarau kemenangan ke atas Thailand selama 52 tahun selepas memenangi aksi separuh akhir pertama.
Sebaliknya, keputusan itu melakar satu lagi detik manis buat Thailand apabila mara ke pentas akhir buat kali ke-11 sejak kejohanan yang sebelum ini turut dikenali sebagai Piala AFF diperkenalkan pada 1996.
Malah, pasukan ranking ke-97 dunia itu kini berpeluang untuk mencipta sejarah sebagai pasukan pertama melakar kejuaraan hatrik selepas muncul juara pada 2020 dan 2022.
Thailand menewaskan Indonesia dengan agregat 6-2 untuk muncul juara pada 2020 dan mengatasi Vietnam dengan agregat 3-2 pada aksi final edisi 2022.
Pada aksi sebentar tadi, Thailand terpaksa menunggu hingga minit ke-37 untuk menyamakan kedudukan agregat apabila rembatan kapten mereka, Peeradon Chamratsamee menewaskan penjaga gol Filipina, Quincy Kammeraad yang sebelum itu bertindak cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya.
Patrik Gustavsson kemudian memberi kelebihan buat Thailand apabila menyumbat gol kedua pada minit ke-54 apabila dia bijak memperdaya Kammeraad.
Bjorn Martin Kristensen bagaimanapun membuat Gajah Perang tergamam apabila meledak gol ketika perlawanan berbaki kira-kira enam minit, sekali gus menjadikan agregat 3-3 dan mengheret perlawanan ke masa tambahan.
sumber:- BH
Penyerang muda, Suphanat Mueanta muncul wira Thailand apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-117 selepas menanduk masuk bola hantaran Worachit Kanitsribampen.Aksi final antara Thailand dan Vietnam akan berlangsung secara timbal balik pada 2 dan 5 Januari ini.