sukan

Arif-Roy King tidak ‘goyang’ penampilan sulung di Terbuka Malaysia

Pemain beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi menegaskan penampilan sulungnya di Terbuka Malaysia yang berlangsung dari 7 hingga 12 Januari ini tidak mencetuskan rasa ‘goyang’ buatnya.

Berbekalkan persembahan konsisten bersama Yap Roy King sepanjang tahun ini, gandingan muda ini berjaya melonjakkan diri ke ranking ke-23 dunia.

Dan sekalipun tidak membawa pulang sebarang gelaran pada 2024, kedudukan itu berjaya melayakkan mereka untuk bersaing di Terbuka Malaysia yang berstatus Super 1000 BWF (Persekutuan Badminton Dunia).

Sedar dengan cabaran getir yang bakal dihadapi di Axiata Arena nanti, pemain kelahiran Terengganu itu tampak tidak gementar dan percaya mampu memberikan persembahan terbaik.

“Sekalipun ini penampilan pertama kali kami di Terbuka Malaysia, kami akan bermain seperti biasa kerana bagi saya ia sama seperti kejohanan yang pernah kami harungi sebelum ini dengan keistimewaan ia berlangsung di laman sendiri.

“Kejohanan bertaraf Super 1000 memang besar tetapi kami sebelum ini pernah beraksi di Terbuka China (Super 1000) jadi rancangannya sama iaitu beri segala-gala yang kami ada.

“Dari sudut lawan juga ia juga lebih kurang sama tidak kira ia bertaraf Super 500 atau Super 1000 jadi kami akan harunginya sama seperti kejohanan yang pernah kami lalui sebelum ini,” kata Arif ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, hari ini.

Sementara itu, Roy King mengakui persiapannya menjelang Terbuka Malaysia sudah memasuki fasa akhir.

“Ini adalah penampilan pertama jadi memang akan teruja ia sudah pun dapat dirasai terutama ini adalah penampilan di laman sendiri.

sumber:- BH

“Setakat ini, persiapan boleh dikatakan sudah lengkap dan kami sudah pun membuat persiapan yang terbaik. Jadi harapnya kami boleh memberikan yang terbaik dan mendapat keputusan yang diinginkan,” katanya.